Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 19 JUN 2024 (GAMBAR FAIL)

PUTRAJAYA – Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini, mustahil pemerintah Arab Saudi, Raja Abdullah sendiri yang memasukkan wang AS$20 juta ke dalam akaun beliau melainkan ia diuruskan oleh keluarga baginda.

Bekas Perdana Menteri berkata, keluarga diraja Arab Saudi itu tidak akan bertindak bersendirian dan baginda tidak akan menghantar wang secara tiba-tiba tanpa sebab.

Dalam salah satu surat bertarikh 1 Februari 2011 yang dikirimkan ke alamat kediaman peribadi beliau, Najib berkata, dia dijanjikan AS$100 juta, namun yang dimasukkan ke dalam akaun hanya AS$20 juta.

Ujar Najib, surat berkenaan hanya formaliti dan terpulang kepada Raja Abdullah (Almarhum) bagaimana cara baginda untuk menghantarnya.

Ketika ditanya oleh Timbalan Pendakwa Raya Kamal Baharin Omar, Najib berkata, beliau tidak mengetahui bila wang berkenaan masuk ke dalam akaunnya dan tidak pula bertanyakan mengenainya dengan pihak bank.

Kamal Baharin: Datuk Seri tahu bila duit diterima? Takkan tak tertanya-tanya bila akan masuk?

Najib: Saya tidak ingat bila duit masuk tapi bank akan beritahu saya.

Ujar bekas Perdana Menteri, beliau tidak mengetahui jumlah sebenar yang masuk dalam akaunnya namun menyedari ia melibatkan nilai yang besar.

Menurut Najib, beliau tidak membuat semakan sendiri dengan pihak bank kerana beranggapan penghantaran wang akan dilakukan secara berperingkat-peringkat.

Menjawab soalan Kamal Baharin, Najib berkata, beliau tidak menghantar surat penghargaan kepada kerajaan Arab Saudi sebaliknya mengucapkan terima kasih secara lisan ketika mengadakan lawatan ke negara itu.

“Jika hantar surat, saya perlu melalui protokol melalui Kementerian Luar. Ini sumbangan peribadi kepada saya,” ujar beliau.

Kamal Baharin kemudian menyatakan, wang itu bukan daripada Raja Abdullah, sebaliknya merupakan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Kamal Baharin: Saya katakan wang itu dana 1MDB, bukan dari Raja Abdullah kerana jika dari Arab Saudi, mesti ada surat penghargaan dikeluarkan.

Najib: Saya tidak setuju.

Najib, 71, menyatakan demikian ketika membela diri terhadap empat pertuduhan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah di Kompleks Mahkamah Istana Kehakiman bersambung Isnin. – MalaysiaGazette

ends.

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here