PETALING JAYA – Mahkamah Sesyen di sini hari ini mengekalkan tarikh 3 Februari depan bagi memulakan perbicaraan membabitkan pasangan Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf atas pertuduhan mengabaikan anak mereka, Zayn Rayyan Abdul Matiin.
Perkara itu dimuktamadkan Hakim Mahkamah Sesyen, Dr. Syahliza Warnoh selepas pendakwaan memaklumkan mahkamah serahan dokumen berkaitan prosiding ini telah selesai.
Hakim sebelum ini menetapkan tarikh perbicaraan pada 3 hingga 7 Februari, 17 hingga 21 Februari dan 10 hingga 14 Mac tahun depan yang dipersetujui kedua-dua pihak.
Menurut Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, pihaknya juga akan menghantar senarai saksi melalui email kepada barisan peguam mewakili kedua-dua tertuduh itu.
“Kita akan serahkan senarai 15 saksi pendakwaan kepada peguam melalui email, jika ada sebarang penyataan saksi, kami akan serahkan kepada peguam sebelum tarikh perbicaraan Yang Arif,” katanya pagi ini.
Manakala peguam mewakili tertuduh, Haresh Mahadevan mengesahkan perkara selain memaklumkan mahkamah pihaknya sudah menerima cakera padat (CD) mengandungi laporan analisis forensik telefon bimbit tertuduh dan laporan forensik bedah siasat mangsa.
Turut mewakili pasangan itu ialah, peguam Ramzani Idris.
Pasangan itu hadir awal pagi sekitar jam 7.45 pagi bersama ahli keluarga kelihatan berbisik antara satu sama ketika prosiding hari ini manakala sekumpulan media sudah menunggu mereka di luar pekarangan mahkamah.
Pada 13 Jun lalu, Zaim Ikhwan dan Ismanira dituduh mengabaikan kanak-kanak autisme itu di sekitar jalan PJU 10/1 Damansara Damai di sini, antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember dan pukul 9.55 malam, 6 Disember 2023.
Mengikut pertuduhan, pasangan suami isteri berusia 29 tahun itu sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka yang berusia enam tahun, didakwa bersama-sama mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar jalan PJU 10/1 Damansara Damai di sini, antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember dan pukul 9.55 malam, 6 Disember 2023.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette