JOHOR BAHRU – Pas didakwa hanya bermain wayang dan bersandiwara untuk memburukkan imej Kerajaan Perpaduan dalam isu Titah Adendum demi mencapai cita-cita politik murahan mereka.
Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Aminolhuda Hassan berkata, namun semua usaha Pas itu gagal untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan.
“Pas jangan cuba mengelirukan rakyat dengan membuat desakan seolah-olah Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bersalah dalam kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sedangkan alasan addendum tersebut bukan sesuatu yang bernas.
“Kalau disemak semula, kes penangkapan Datuk Seri Najib Razak berlangsung ketika Pas menjadi sebahagian daripada kerajaan waktu itu.
“Timbul pula persoalan mengapa tidak ada agenda Pas untuk memberi cadangan pengampunan diraja terhadap Najib ketika itu, mengapa ia dihebohkan ketika ini,” soalnya dalam kenyataan hari ini.
Pada 6 Januari lalu, Pas mendesak Anwar segera melepaskan jawatan kerana didakwa telah hilang kewibawaan dan kredibiliti untuk terus mentadbir negara.
Ketua penerangannya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, ini kerana keputusan Mahkamah Rayuan mengesahkan kewujudan Titah Adendum berhubung tahanan dalam Najib yang membuktikan bahawa terdapat unsur penyembunyian maklumat penting oleh kerajaan sebelum permohonan beliau difailkan di mahkamah.
Aminolhuda yang juga Ahli Parlimen Sri Gading berkata, seharusnya Pas atau Perikatan Nasional (PN) mendesak Perdana Menteri ketika itu iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk melepaskan jawatan.
Jelasnya, ini kerana Ismail Sabri selaku Perdana Menteri ketika itu tidak mengambil berat serta tidak bersungguh dalam mendapatkan pengampunan diRaja dalam kes Najib itu.
Justeru katanya, desakan Pas supaya Anwar meletak jawatan baru-baru ini adalah tidak munasabah.
Tegas beliau, tidak ada keperluan untuk Anwar meletakkan jawatan dan gesaan Pas itu adalah hasil daripada desakan mereka yang hanya mahu mencari silap.- MalaysiaGazette