KUALA LUMPUR – UMNO sedia memberi kerjasama dengan Mahkamah Tinggi berhubung keabsahan Titah Adendum Yang di-Pertuan Agong (YDPA) ke-16 yang dikurniakan kepada Datuk Seri Najib Razak kelak.

Setiausaha Agungnya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, Menteri-Menteri UMNO sedia memberi keterangan kepada Mahkamah Tinggi jika diperlukan.

“UMNO merakamkan rasa syukur dan menghormati keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan permohonan Datuk Seri Najib untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mengesahkan kewujudan Titah Adendum.

“UMNO yakin bahawa Mahkamah Tinggi akan bertindak bebas dan adil untuk menilai keabsahan kewujudan Titah Adendum tersebut,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Terdahulu Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mempengerusikan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, malam ini.

Pada 6 Januari lalu, Najib berjaya mendapat kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi suatu perintah memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum, Januari tahun lalu.

Titah Adendum berkenaan dikatakan diperkenan YDPA ke-16 yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah, bersabit kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Keputusan berkenaan dicapai melalui penghakiman majoriti 2-1 oleh Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril, dengan Hakim Datuk Azizah Nawawi memberikan keputusan berbeza.

Penghakiman majoriti itu juga membenarkan permohonan Najib untuk mengemukakan bukti tambahan iaitu surat daripada Majlis Kesultanan Pahang kepada anaknya, Mohamad Nizar yang mengesahkan kewujudan Titah Adendum, bagi menyokong permohonan semakan kehakimannya itu.

Dalam pada itu, Asyraf berkata, UMNO akan terus memohon ihsan dan perkenan YDPA, Sultan Ibrahim untuk mengurniakan pengampunan penuh kepada bekas Perdana Menteri itu.

“Ia selaras dengan kuasa prerogatif di bawah Perkara 42 (1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan.

“UMNO satu-satunya parti yang termaktub di dalam Perlembagaan partinya mempertahankan Institusi Raja-Raja Melayu akan sentiasa meletakkan keutamaan dan penghormatan tertinggi YDPA,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here