KUALA SELANGOR – Kehilangan seorang lelaki warga emas sejak awal tahun ini terungkai setelah mayatnya ditemui di dalam kawasan kebun kelapa sawit di Jalan Maksah 2, Jeram semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azaharudin Tajudin berkata, Mohd Sharip Basirun, 87, ditemukan oleh orang awam kira-kira empat kilometer dari kediamannya di Batu 1, Jalan Simpang Tiga Jeram.
“Anggota Balai Polis Jeram menerima satu laporan daripada orang awam berkenaan penemuan satu mayat lelaki kira-kira pukul 8.14 malam,” katanya dalam satu kenyataan kepada MalaysiaGazette hari ini.
Azaharudin berkata, pengadu mengesahkan mayat itu adalah datuknya yang dilaporkan hilang pada 3 Januari lalu.
“Siasatan awal mendapati mangsa mempunyai masalah kurang daya ingatan. Kali terakhir dilihat ahli keluarga pada pukul 3 petang (3 Januari),” katanya.
Selain itu, katanya, terdapat beberapa keping wang kertas termasuk RM50, RM10 dan RM1 bertaburan di sekitar lokasi mangsa semasa ditemui.
“Mangsa tidak membawa kad pengenalan atau sebarang beg,” katanya.
Menurut Azaharudin, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tanjong Karang untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.
“Tiada sebarang kesan calar dan luka di anggota badan mangsa ditemui dan keadaan mayat mula mereput. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Selangor di talian 03-328 91222 atau mana-mana balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette