AMPANG – Polis merampas beberapa objek tumpul yang dikaitkan kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun disyaki didera di sebuah rumah di Taman Bukit Ampang, di sini, Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, ACP Mohd Azam Ismail berkata, rampasan itu dibuat pada hari yang sama kedua-dua suspek ditahan.
“Ada beberapa objek tumpul telah dirampas semasa tangkapan dibuat.
“Bagaimanapun objek berkenaan perlu diserahkan kepada pakar untuk disahkan sebagai senjata berdasarkan laporan nanti,” katanya secara ringkas hari ini.
Pada Jumaat, polis menahan seorang wanita dan teman lelakinya kerana disyaki mendera seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang juga anak wanita terbabit dalam kejadian di Taman Bukit Ampang.
Mohd Azam dilaporkan berkata , kedua-dua suspek berusia 25 dan 36 tahun itu ditahan di Jalan Zamrud, Taman Bukit Ampang, pada 5.17 petang, hari yang sama.
Katanya, ibu kandung mangsa menghubungi Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya memberitahu kanak-kanak itu sedang tidur dan sudah tidak bernafas pada 2.36 petang.
“Hasil pemeriksaan polis bersama anggota paramedik mendapati mangsa meninggal dunia di rumah terbabit dan terdapat kesan lebam pada bahagian muka, leher, tangan dan kaki.
“Proses bedah siasat di Hospital Kuala Lumpur mendapati punca kematian mangsa adalah pendarahan di dalam kepala disyaki dipukul dengan benda keras serta tumpul secara berulang di rumah berkenaan,” katanya dalam kenyataan.
Susulan itu, Mohd Azam berkata, kedua-dua suspek direman tujuh hari sehingga 17 Januari depan bagi siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette