KOTA TINGGI- Tindakan seorang lelaki meredah laluan digenangi air banjir di Jalan Lukut Cina berhampiran Taman Aman di sini semalam membawa padah.
Dalam kejadian pada pukul 5 pagi, pemandu kereta berkenaan yang berusia 52 tahun nekad meredah air banjir tetapi tidak berjaya sebelum dibawa arus deras.
Kereta berkenaan dibawa arus sehingga tersangkut di wayar tiang elektrik di jalan tersebut dan termasuk dalam banjir lalu mengakibatkan bahagian belakang kereta terjungkit.
Lelaki berkenaan menyelamatkan diri dengan memanjat dan duduk atas bumbung kereta sebelum meminta bantuan untuk diselamatkan.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othma berkata, pihaknya datang memberikan pertolongan dan menyelamatkan lelaki tersebut.
“Petugas Respond Team Polis Kota Tinggi berjaya menyelamatkan lelaki itu selepas keretannya hanyut dibawa arus dan tersangkut pada wayar tiang elektrik di jalan itu,” katanya ketika ditemui.
Kejadian tersebut yang tular dalam media sosial turut dikongsi dan dimuat naik dalam Facebook Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi.
Malah Yosof hadir di lokasi kejadian untuk memantau kerja-kerja menyelamatkan lelaki terbabit dan meninjau keadaan di kawasan dinaiki air.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa berjaga-jaga di samping mematuhi arahan pemindahan dikeluarkan pihak berkuasa.
“Sentiasa berwaspada dan tidak meredah laluan digenangi air banjir walaupun menganggap ia masih tidak dalam dan boleh dilalui.
“Air banjir yang menenggelamkan jalan selalunya berarus deras dan membahayakan pengguna jalan raya serta merisikokan nyawa jika kenderaan dinaiki hanyut dibawa air banjir,” katanya.
Yusof mengingatkan pengguna jalan raya supaya tidak terlalu berani mengambil risiko meredah arus banjir kerana keadaan air yang deras dan berbahaya untuk dilalui.
“Saya juga minta penduduk terutama di kawasan rendah yang kediaman mereka dinaiki air supaya segera berpindah kerana melihat keadaan air kelmarin, ia naik dengan begitu pantas.
“Jika air dah mula naik, tetapi penduduk mahu menunggu air lebih dalam sebelum berpindah, ini akan merisikokan nyawa mereka dan penyelamat sekali gus menyukarkan kerja menyelamat dilakukan,” katanya.- MalaysiaGazette