Amir Hamzah Azizan

KUALA LUMPUR- Ekonomi Malaysia dijangka mengekalkan pertumbuhan yang stabil melebihi 5.0 peratus pada 2025, disokong oleh pelaburan strategik, pengurusan fiskal yang kukuh dan daya tahan ekonomi, kata Kementerian Kewangan.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia melepasi jangkaan tahun lepas, dengan ekonomi melebihi sasaran dalam belanjawan awal dan unjuran oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

“Saya fikir kita mengalami tahun yang hebat pada tahun lepas. Tahun ini, saya fikir momentum positif akan terus berlanjutan. Saya fikir kita mempunyai asas yang baik kerana pelaburan langsung asing (FDI) kekal kukuh dan banyak aktiviti yang dihasilkan kini sedang memberi kesan dalam ekonomi.

“Walaupun pasaran global agak tidak stabil, kita mempunyai daya tahan yang cukup untuk menghadapinya. Tahun ini, kita akan kekal melebihi 5.0 peratus,” katanya dalam temu bual dengan Haslinda Amin daripada Bloomberg.

Malaysia ialah negara perdagangan terbuka

Amir Hamzah menegaskan Malaysia kekal teguh dalam menyokong pasaran terbuka walaupun terdapat perubahan pada dinamik perdagangan global.

“Malaysia ialah sebuah negara perdagangan terbuka, dan secara berkesan, apa yang kita mahukan ialah pasaran terbuka untuk semua orang mengambil bahagian. Kita tidak suka memilih pihak, dan saya fikir kita telah dapat mengemudi kedudukan ekonomi sejak beberapa tahun lalu dan membuktikan kita mengamalkan ekonomi yang cukup terbuka.

“Walaupun mungkin terdapat pendirian yang sukar di sepanjang jalan, kepelbagaian ekonomi Malaysia itu sendiri menyediakan daya tahan untuk sepanjang perjalanan berkenaan,” katanya.

Amin Hamzah berkata Malaysia mempunyai asas ekonomi yang berdaya tahan, daripada komoditi kepada pembuatan, perkhidmatan dan industri berteknologi tinggi seperti sektor elektrik dan elektronik (E&E), serta semikonduktor.

Selain itu, beliau berkata pusat data juga menyumbang kepada kompleksiti ekonomi Malaysia.

Walaupun ketegangan geopolitik dan potensi dasar luar yang diperkenalkan di bawah Presiden AS Donald Trump mungkin menimbulkan risiko kepada Malaysia, Amir Hamzah menyatakan harapan untuk meneruskan prinsip perdagangan bebas.

“Ia (prinsip perdagangan bebas) telah membantu dunia berkembang menjadi bentuk yang lebih baik, dan saya berharap kita akan dapat membuat orang memahami bahawa Malaysia diposisikan sebagai sebuah negara perdagangan terbuka, dan kita akan terus menyokong hala tuju ini untuk Malaysia,” katanya.

Kestabilan ringgit dan daya tahan perdagangan

Ringgit yang mengukuh hampir 3.0 peratus pada 2024, muncul sebagai salah satu mata wang berprestasi terbaik di rantau Asia.

Amir Hamzah menyifatkan pertumbuhan itu disebabkan aliran masuk FDI yang kukuh, pelaburan domestik dan campur tangan strategik oleh syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).

“Kita mendapat sedikit bantuan daripada GLIC kita dalam menyokong inisiatif kerajaan. Apabila mereka memperoleh keuntungan berlebihan, mereka membawa balik keuntungan itu. Jadi, itu mencipta permintaan untuk ringgit. Tetapi itu bukan pendorong utama mengapa kami melakukannya. Ia membantu mengurangkan impak di sepanjang keadaan.

“Perkara kedua adalah untuk memastikan selagi kita boleh menjana banyak FDI yang masuk, dan kita boleh menjana banyak minat, pelaburan untuk masuk, maka sebenarnya ia membantu permintaan untuk ringgit,” tambahnya.

— BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here