ACP Azli Mohd Noor

KUALA NERUS –  Seramai 22 petugas termasuk pegawai dan anggota polis dikerah untuk menjalankan pemantauan secara berkala di empat lokasi pantai yang menjadi tumpuan orang ramai berikutan fenomena ombak besar dan angin kencang.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata, lokasi berkenaan adalah Pantai Tanjung, Pantai Mengabang Telipot dan Pantai Seberang Takir di Kuala Nerus serta Pantai Batu Buruk di Kuala Terengganu.

Beliau berkata, pemantauan ini bertujuan memastikan keselamatan orang ramai susulan fenomena ombak besar dan angin kencang yang dijangka mencapai kelajuan 60 hingga 70 kilometer sejam (km/j) sepanjang minggu hadapan.

“Malam ini dijangka berlaku air pasang besar pada pukul 10 malam. Jadi, saya nasihatkan penduduk dan orang ramai agar tidak menghampiri kawasan pantai kerana ia sangat berbahaya.

“Saya minta orang ramai tidak mengambil mudah soal keselamatan kerana kami dapati masih ramai, terutama golongan remaja yang berkumpul di tepi tembok di Pantai Seberang Takir untuk melihat ombak,” katanya ketika meninjau jalan rosak di Kampung Tanjung di sini hari ini.

Dalam pada itu, Azli berkata dua jalan pantai iaitu di Kampung Mengabang Telipot dan Kampung Tanjung, telah ditutup sepenuhnya kepada semua pengguna jalan raya bermula semalam.

Menurutnya lokasi tersebut yang menjadi tumpuan orang ramai untuk aktiviti rekreasi terpaksa ditutup kerana rosak dan atas faktor keselamatan lain.

“Kami terpaksa menutup jalan pantai Mengabang Telipot sepanjang 300 meter dan jalan Kampung Tanjung sekitar 330 meter sebagai langkah berjaga-jaga berikutan fenomena angin kencang dan air pasang besar.

“Kami akan menutup jalan ini sehingga keadaan angin atau ombak kembali reda. Dalam tempoh ini, orang ramai boleh menggunakan beberapa jalan alternatif yang boleh dilalui oleh semua jenis kenderaan,” katanya. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here