KUALA LUMPUR – Pihak-pihak yang mempertikai pengampunan yang dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA), boleh dianggap sebagai penyibuk, kata seorang peguam.
Datuk Shamsuddin Nawawi menjelaskan, Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kuasa prerogatif Seri Paduka Baginda yang tidak boleh dipertikai oleh mana-mana individu.
Sehubungan itu, beliau berkata, titah adendum yang membolehkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman penjara dalam tahanan rumah, juga tidak boleh dipertikai.
“Jika dipertikai sekalipun, anda seorang penyibuk (busybody) walhal anda tiada hak di sisi undang-undang (locus standi) pun untuk berbuat demikian,” ujar beliau.
Peguam tersebut menyatakan demikian dalam hantaran menerusi Facebooknya hari ini yang bertajuk ‘Adakah kuasa pengampunan oleh Agong itu prerogatif atau atas nasihat Lembaga Pengampunan?’
Shamsuddin menjelaskan, prerogatif bermaksud hak itu hanya ada pada Seri Paduka Baginda dan tidak perlu mengikut nasihat pihak lain.
Beliau membangkitkan isu sama ada dalam konteks pengampunan, Agong boleh bertindak seorang diri tanpa mengambil kira apa juga pandangan ahli Lembaga Pengampunan atau mesti patuh/terikat kepada persetujuan yang tercapai oleh ahli-ahli lembaga.
Dalam hantaran itu, beliau turut menyentuh cabaran seorang peguam berkaitan pengampunan yang diberikan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Shamsuddin memetik penghakiman Mahkamah Rayuan yang berpendirian, kuasa prerogatif merupakan hak mutlak YDPA dan tidak tertakluk kepada bidang kuasa mahkamah.
Ujar beliau, penghakiman itu membawa maksud, sesiapa yang mempertikai kuasa prerogatif YDPA dianggap penyibuk dan pencetus masalah serta tidak layak mendapat perisytiharan seperti yang dipohon.
Jelasnya, penghakiman itu menyatakan, rakyat Malaysia atau peguam sekalipun tidak membolehkannya membawa tindakan undang-undang kerana ia jelas satu penyalahgunaan proses mahkamah dan seharusnya dibatalkan.
“Menariknya dalam kes itu, mahkamah memutuskan peguam pun tidak boleh jadi `penyibuk’, maknanya Peguam Negara (peguam kepada kerajaan) juga tidak boleh pertikai.
“Peguam kerajaan juga tidak sepatutnya menimbulkan persoalan apa yang perlu dilakukan dengan titah adendum ini kerana ia tidak boleh dipersoalkan di mahkamah,” ujarnya.
Katanya, kalau dipersoal juga, ia boleh diibaratkan mempertikai pengampunan yang diberikan kepada Anwar.
“Kalau titah itu untuk tahanan di rumah, tahan sajalah! Dia tetap seorang banduan sehingga tempoh tahanan itu tamat.
“Mana pernah berlaku dan mana undang-undangnya yang menganggap seorang yang tidak pernah melakukan apa-apa kesalahan, walhal ada rekod dia dibicarakan, disabitkan, dibuat rayuan hingga ke mahkamah tertinggi negara dan ditahan dipenjara, rekod itu hendak dipadamkan macam mana?” ujar beliau.
Shamsuddin malah menyatakan, gambar, laporan media serta video masih boleh diperolehi manakala laporan kes itu dalam journal undang-undang juga masih ada. – MalaysiaGazette.