KOTA TINGGI – Gelombang kedua banjir di Johor dijangka melanda Rabu hingga Sabtu ini.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, ramalan itu berdasarkan jangkaan dimaklumkan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia).
“Justeru, saya menyeru seluruh Bangsa Johor agar terus waspada dan mendengar arahan daripada pihak berkuasa, supaya usaha pengurusan banjir di Johor berjalan lancar,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan muat naik dalam Facebook miliknya selepas meninjau pusat pemindahan sementara (PPS) di sini hari ini.
Kata Onn Hafiz, menerusi lawatan terbabit juga, beliau diberi taklimat mengenai tiga Projek Tebatan Banjir di Sungai Johor dan Sungai Pemandi yang kini berada dalam fasa pelaksanaan di daerah ini.
“Saya telah mengarahkan pihak berkenaan agar mempercepatkan pelaksanaan projek tebatan ini bagi mengurangkan impak banjir yang sering melanda negeri Johor.
“Isu ini harus ditangani dengan segera dan lebih serius agar kejadian banjir yang sama tidak berulang pada masa hadapan,” ujarnya.
Setakat pukul 5 petang ini, bilangan mangsa banjir di Johor melibatkan 3,876 orang daripada 1,083 keluarga yang kini berlindung di 37 pusat pemindahan sementara (PPS) di Kota Tinggi, Kluang, Pontian, Kulai dan Johor Bahru.- MalaysiaGazatte