ISKANDAR PUTERI – Kekalahan Sabah FC 0-4 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim di sini malam tadi, tidak seharusnya melemahkan semangat mereka untuk bangkit seterusnya mencatatkan kejayaan.
Pengendali Sabah FC, Martin Stano mahu kesebelasan pemainnya menoleh ke depan dan melakar kejayaan pada perlawanan akan datang dalam usaha mengukuhkan kedudukan dalam carta Liga Super.
Beliau akui walaupun tewas, tetap bangga kerana anak buahnya sulah membuktikan mereka mampu beraksi dengan baik hingga berjaya mengekang asakan-asakan lawan dengan baik terutamaya pada separuh masa pertama.
“Malah, pemain-pemain dilihat bertindak baik apabila berjaya menutup ruang dengan sebaiknya bagi menyekat kemaraan pemain lawan.
“Bagaimanapun pada separuh masa kedua, pemain kita dilihat banyak memberikan ruang kepada pemain lawan dan kesempatan itu dimanfaatkan sebaiknya bagi menjaringkan gol,” katanya dalam sidang akhbar selepas perlawatan tersebut malam tadi.
Untuk rekod, Sabah FC tewas 0-4 kepada JDT dan menyaskikan skuad The Rhinos itu berada pada kedudukan ketiga dengan 29 mata, hasil sembilan kemenangan, dua seri dan tewas lima kali setelah mengharungi 16 perlawanan.
Mengulas mengenai perlawanan tersebut, Stano berkata, itu merupakan satu perlawanan yang sukar apabila berdepan dengan pasukan handalan seperti JDT.
Bagaimanapun katanya, persediaan rapi telah dibuat dan boleh dilihat pada separuh masa pertama apabila pemain pertahanannya tidak memberikan peluang kepada JDT untuk bergerak bebas.
“Pemain kita beraksi cemerlang pada separuh masa pertama, namun di separuh masa kedua, JDT dilihat mula memperkemaskan asakan ke pintu gol Sabah FC.
“Hasilnya, mereka berjaya menjaringkan gol. Apa pun, pasukan Sabah FC akan tetap cuba memberikan aksi yang lebih baik pada perlawanan akan datang,” katanya.- MalaysiaGazette