KUALA LUMPUR- Dua pemilik syarikat dan seorang kakitangan agensi sebuah kementerian disambung reman kerana disyaki terbabit rasuah melibatkan isu surat tawaran kelulusan Lesen Kenderaan Perdagangan (LKP) tanpa memenuhi syarat ditetapkan.
Lanjutan reman selama tiga sehingga 15 Januari ini dikeluarkan Pendaftar Mahkamah Majistret Putrajaya, Syahrul Syazly Md Sain selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pagi tadi sebaik tempoh reman asal terhadap suspek tamat hari ini.
Menurut sumber, ketiga suspek lelaki berusia 40 hingga 50-an itu merupakan antara lapan individu yang ditahan Bahagian Perisikan SPRM menerusi Op Loader dijalankan pada Rabu di sekitar Lembah Klang dan Melaka.
“Bagi mengeluarkan surat tawaran kelulusan LKP berkenaan, pegawai-pegawai agensi itu dipercayai bersekongkol dengan syarikat-syarikat yang bertindak menyediakan maklumat palsu seperti penyata bank selain mengurus proses permohonan termasuk Surat Tawaran Kelulusan (STK) dan Surat Kelulusan Lanjut Usia (SKLU) bagi membolehkan kenderaan perdagangan yang tidak layak menjalani Pemeriksaan Awalan Puspakom
“Berdasarkan risikan, bayaran rasuah yang dikenakan adalah sebanyak RM3,000 hingga RM20,000 bergantung kepada jenis kenderaan dan usia kenderaan yang ingin memohon LKP terbabit,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuurhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap suspek dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 16 dan Seksyen 17 Akta SPRM 2009.- MalaysiaGazette