KUALA LUMPUR – “Saya ingin tanya PMX betulkah dia (Peguam Negara) hantar ke istana dan bila dia hantar?,” soal Isham Jalil, bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO.
Katanya, dia bertanya sebab kenyataan pihak kerajaan sebelum ini berpusing-pusing, celaru dan cacamarba.
Dakwa beliau, sebelum ini kerajaan mendakwa titah adendum itu khabar angin, tidak wujud dan tiada rekod adendum, malah mempersoalkan kembali macam mana nak sorok benda yang tiada, dan sebagainya.
Isham terus bertanya, mereka yang memberi kenyataan berhubung titah adendum ini semuanya orang-orang besar di bawah Perdana Menteri, justeru soalnya adakah Datuk Seri Anwar tidak boleh mengawal mereka.
Mengulas lanjut, beliau tetap mempersoalkan mengapa kerajaan atau Peguam Negara berdiam diri mengenai titah adendum ini selama setahun.
“Pejabat Peguam Negara tentunya ada salinan adendum ini dan boleh berikan kepada pihak pemohon apabila diminta berkali-kali.
“Atau sekurang-kurangnya beritahu pemohon ia wujud dan telah diserahkan kepada istana (jika benar dia serah) supaya pemohon boleh ambil tindakan sewajarnya. Kenapa nafikan seseorang haknya?,” soal Jalil lagi.
Memetik kenyataan pakar perkembagaan, Profesor Shamrahayu A. Aziz, titah adendum tidak terbatal dengan pertukaran Yang di-Pertuan Agong.
Malah, Peguam Haniff Khatri berkata, titah addendum adalah kuasa prerogatif mutlak Yang di-Pertuan Agong, oleh itu tidak perlu melalui Lembaga Pengampunan.
Oleh itu, katanya, rakyat mohon supaya Majlis Raja-raja bersidang untuk membincangkan keingkaran Perdana Menteri dan Peguam Negara mengakui titah addendum diraja tersebut.
“Ini bukan sahaja soal Najib. Ini adalah soal Perlembagaan dan keadilan rakyat. Jika seorang bekas Perdana Menteri pun boleh dinafikan haknya, apakan lagi rakyat biasa. Perkara ini perlu dipertanggungjawabkan,” katanya. – MalaysiaGazette