Gelagat penyokong Harimau Malaya yang hadir bagi menyaksikan perlawanan persahabatan bola sepak Malaysia menentang Brunei di Stadium Nasional Bukit Jalil. Foto MOHD ADZLAN, 27 MEI 2022.

KUALA LUMPUR- Kerajaan akan meningkatkan peruntukan RM15 juta yang diumumkan sewaktu Belanjawan 2025 khusus untuk pembangunan sukan bola sepak kepada RM30 juta.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, RM15 juta daripada peruntukan tersebut akan dibiayai oleh pihak swasta.

Katanya, peruntukan itu akan digunakan bagi meningkatkan program-program pembangunan Harimau Malaya di setiap peringkat.

Ia juga boleh digunakan untuk mempersiapkan pasukan utama agar lebih kompetitif dalam setiap kejohanan antarabangsa yang disertai.

Tambah Anwar, dana itu juga akan dimanfaatkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam aspek pengurusan organisasi yang mana ia memerlukan perubahan total dari setiap sudut.

Ia bagi memastikan para pemain kebangsaan mendapat sokongan yang berterusan daripada barisan tenaga pakar dan kejurulatihan yang dilantik.

Katanya, usaha juga akan ditumpukan kepada mewujudkan lebih ramai pemain pelapis pasukan Harimau Malaya, dengan memberikan pendedahan meluas kepada skuad bawah-23 negara dan ini secara tidak langsung membolehkan pasukan utama sentiasa dilengkapi dengan para pemain yang berpengalaman.

“Selain daripada ikhtiar yang dilakukan oleh Kerajaan MADANI dan FAM, saya juga berharap Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor akan terus memberikan dukungan berterusan berdasarkan pencapaian, pengalaman serta rangkaian luas Baginda dalam industri bola sepak.

“Pengetahuan Pemangku Sultan Johor yang mendalam mengenai pengurusan bola sepak serta hubungan dengan figura sukan dan kelab bola sepak antarabangsa adalah aset yang tidak ternilai yang dapat digunakan untuk menolong Harimau Malaya dan pasukan pengurusannya.

“Saya berharap agar rakyat Malaysia terus memberikan sokongan dan kepercayaan kepada pasukan Harimau Malaya termasuk pasukan pengurusan dalam mengangkat nama Malaysia ke peringat tertinggi dan setanding nama besar bola sepak antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan malam ini. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here