KUALA LUMPUR – Polis sedang menjalankan siasatan berkaitan penganiayaan beberapa kucing didakwa dimasukkan ke dalam guni dan dibuang di sebuah pangsapuri di Batu 9, Cheras, Selangor semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya telah menerima dua laporan berkaitan perkara itu sekitar jam 10.58 malam semalam dan hari ini.
“Laporan berkaitan video tular memaparkan sekumpulan lelaki sedang menangkap beberapa ekor kucing dan dimasukkan ke dalam guni sebelum dibawa menaiki kereta disyaki untuk dibuang ke lokasi tidak diketahui.
“Pada masa sama, polis juga menerima satu lagi laporan daripada ahli jawatankuasa persatuan penduduk pangsapuri itu yang menafikan menganiaya da mendera haiwan peliharaan terbabit susulan rakaman video berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, semakan lanjut polis bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) menerima aduan sama dan JPV akan mengambil tindakan mengikut Akta Kebajikan Haiwan 2015.
“Justeru, orang ramai menasihati masyarakat supaya tidak melanggar peruntukan undang-undang termasuk penganiayaan terhadap haiwan,” ujarnya.
Terdahulu, tular video berdurasi 38 saat yang memaparkan beberapa lelaki memasukkan kucing ke dalam guni dan diikat sebelum dikatakan dimasukkan ke dalam but kereta. – MalaysiaGazette