KUALA LUMPUR – Video skandal rasuah didakwa melibatkan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah termasuk Datuk Masiung Banah jelas menunjukkan rundingan itu hanya melibatkan wakil rakyat daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, dalam rakaman video yang tular itu, tiada kelibat atau penglibatan mana-mana individu daripada pihak pembangkang.
“Rundingan dan perbincangan tersebut adalah urusan dalaman mereka yang akhirnya menemui jalan buntu.
“Rakaman video yang tular menunjukkan bukti perbualan wakil rakyat GRS terlibat secara langsung dalam penerimaan wang.
“Ini adalah bukti jelas salah laku yang melanggar undang-undang, tanpa sebarang kaitan dengan pembangkang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan Masiung yang juga Naib Presiden GRS mendakwa, penularan video skandal itu didalangi parti pembangkang selepas gagal menjatuhkan kerajaan Sabah menerusi ‘Langkah Sabah’.
Masiung berkata, kumpulan itu adalah dalang media sosial yang bertanggungjawab menghasilkan video hasutan jahat melibatkan lapan ADUN GRS, baru-baru ini.
Menurut Bung, ketiadaan tindakan undang-undang terhadap pemimpin pembangkang dan pihak yang menyebarkan video itu membuktikan tuduhan Masiung tidak berasas.
“Sebaliknya, mereka memilih untuk memberikan kenyataan seperti saya move on dan teruskan kerja, video kami disunting, ia hanya menimbulkan lebih banyak persoalan.
“Sebagai wakil rakyat, mereka sepatutnya bertanggungjawab sepenuhnya atas perbuatan sendiri.
“Jangan hanya berani bertindak, tetapi takut untuk menghadapi akibatnya,” katanya.
Katanya Bung lagi, beliau menasihatkan kerajaan GRS agar berhenti membuat tuduhan tidak berasas terhadap pihak pembangkang.
“UMNO-BN tidak perlu bermain politik kotor kerana saya yakin rakyat Sabah tahu apa sebenarnya yang berlaku.
“Kegagalan GRS mengurus tadbir negeri ini bukan lagi satu rahsia tersembunyi, seperti isu bekalan air bersih masih menghantui rakyat di Sabah.
“Rakyat Sabah semakin matang dan bijak menilai, dan tindakan sebegini hanya akan membuka mata mereka tentang siapa yang sebenarnya bertanggungjawab dalam isu ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette