ISKANDAR PUTERI – Polis menahan empat individu warga Myanmar, disyaki menjadikan rumah kedai di Taman Bestari Jaya, Skudai di sini sebagai pusat hiburan tidak berlesen pada 6 Januari lalu.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, penahanan warga asing itu melibatkan dua lelaki dan dua wanita, berumur 24 hingga 30 tahun.
“Dalam serbuan ini pihak polis merampas peralatan hiburan seperti televisyen, pembesar suara dan mikrofon serta 43 karton dan tin minuman keras bernilai RM11,000.
“Pusat hiburan ini beroperasi lebih kurang dua bulan. Mereka menyewa rumah kedai dengan alasan nak buka restoran. Tapi dijadikan pusat hiburan. Pusat hiburan ini juga tiada papan tanda. Pelanggan mereka majoriti warga Myanmar,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri, di sini, hari ini.
Katanya, antara kesalahan lain dikesan termasuk memiliki barang larangan import dan tinggal di Malaysia tanpa permit sah.
Jelas Kumarasan, semua suspek ditahan reman sehingga Isnin ini.
Beliau memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Serta Seksyen 39(b) Peraturan Imigresen 1959/63 dan Seksyen 6(2) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Negeri Johor.
Sementara itu, beliau berkata, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Iskandar Puteri bersama-sama Pasukan khas dari Balai Polis Tanjung Kupang menahan tiga lelaki tempatan berusia 20 hingga 38 tahun dalam Ops Lejang.
Menurutnya, mereka dicekup pada pukul 6.15 petang hingga 11.30 malam, 4 Januari lalu ekoran aduan kehilangan motosikal di kawasan perumahan Gelang Patah dan Tanjung Kupang.
“Hasil semakan mendapati ketiga-tiga suspek tidak mempunyai rekod jenayah dan dadah. Hasil saringan air kencing ketiga-tiga suspek didapati negatif dadah,” ujarnya.
Modus operasi mereka katanya, adalah mencuri motosikal yang terbiar di bahu jalan dengan menggunakan lori dan pacuan empat roda.
“Motosikal yang dicuri disyaki dijual untuk pasaran kawasan Felda sekitar Johor,” katanya.
Beliau berkata, hasil tangkapan tersebut, pihaknya merampas sebuah kereta, 19 buah motosikal dam empat enjin motosikal.
Tambahnya, kes disiasat bawah Seksyen 379A dan Seksyen 411 Kanun Keseksaan, semua suspek sudah dituduh di mahkamah hari ini.
Sebarang maklumat aktiviti jenayah katanya, boleh disalurkan ke balai polis berdekatan atau pusat kawalan daerah ini menerusi talian 07-5113622 atau hotline 075514486.- MalaysiaGazette