SHAH ALAM – Akauntan Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH), Hamimah Yakub menjadi tertuduh pertama yang dibenarkan ikat jamin selepas ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) sejak 20 September tahun lalu.
Mahkamah Tinggi membuat keputusan tersebut selepas mempertimbangkan hujah daripada pihak pembelaan yang mewakili tertuduh.
Terdahulu, peguam mewakilinya Kamal Hisham Jaafar berkata, permohonan tersebut di bawah peruntukan Seksyen 13 (2) (b) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747) yang memberi kelonggaran jaminan kepada wanita.
Selain itu, katanya, tertuduh yang kini berusia 73 tahun mempunyai penyakit asma dengan bronkitis, diabetis, tekanan darah tinggi dan eczema.
“Pemohon (tertuduh) mempunyai hak prima facie di bawah seksyen tersebut untuk membuat permohonan perintah ikat jamin memandangkan pemohon yang merupakan seorang wanita adalah tergolong dalam salah satu kategori kekecualian yang layak untuk dipertimbangkan bagi diberikan ikat jamin oleh Mahkamah yang mulia ini,” katanya ketika berhujah.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Norinna Bahadun berkata, pihaknya tidak mempunyai halangan dengan permohonan berkenaan dan menyerahkan mahkamah membuat keputusan.
Selepas membuat pertimbangan, Hakim Datuk Seri Latifah Mohd. Tahar membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM40,000 dengan dua orang penjamin.
Selain itu, beliau menetapkan supaya tertuduh melaporkan diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang sekali setiap dua minggu dan menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Wanita itu juga dilarang menghubungi saksi kes dan diarah hadir setiap tarikh perbicaraan kelak.
Pada 23 Oktober tahun lalu, warga emas itu didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang GISBH di Jalan Desa Bandar Country Homes, Rawang.
Dia didakwa mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang membawa penjara antara lima hingga 20 tahun jika sabit kesalahan.
Kemudian pada 23 Disember tahun lalu, Mahkamah Sesyen Selayang membenarkan kes dihadapi Hamimah bersama 21 yang lain dipindahkan ke Mahkamah Tinggi di sini.
Kesemua yang dituduh termasuklah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISBH, Datuk Nasiruddin Mohd Ali, 66, isterinya, Datin Azura Md Yusof, 58, dan anak bekas pengasas Al-Arqam, Mohammad Adib At-Tamimi Asa’ari, 33.
Selain itu, 11 tertuduh lelaki lain iaitu Mohd Shukri Mohd Noor, 54; Hasnan Abd Hamid, 54; Mokhtar Tajuddin, 61; Shuhaimi Mohamed, 57; Muhammad Afdaluddin Latif, 35; Mohamad Sayuti Omar, 36; Mohd Fazil Md Jasin, 58; Mohd Dhirar Fakhrur Razi, 35; Muhammad Zahid Azhar@Nadzri, 52; Abu Ubaidah Ahnad Shukri, 35 dan Muhammad Fajrul Islam Khalid, 29.
Lapan tertuduh wanita pula ialah Hamimah Yakub, 73; Asmat@ Asmanira Muhammad Ramly, 45; Mahani Kasim, 55; Siti Hajar Ismail, 52; Khalilatul-Zalifah Mohammad Jamil, 28; Nurul Jannah Idris, 29; Nur Jannah Omar, 33 dan Siti Salmiah Ismail, 58.-MalaysiaGazette