Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu bercakap pada sidang media selepas hadir pada lawatan kerja ke Projek Ladang Satelit Ehsan Tani di Kampung Sungai Kelambu, Banting. Foto SADIQ SANI, 13 JANUARI 2025

KUALA LANGAT – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) sedang mengkaji untuk menaikkan harga siling belian harga padi tempatan berbanding RM1,300 satu tan ketika ini.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, beliau tidak menafikan ada beberapa pengilang padi yang membeli padi tempatan daripada pesawah sehingga RM1,800 satu tan.

“Itu sedang dikaji oleh semua pihak, memang sekarang ini minimum RM1,300 tapi di Kedah itu padi dibeli sampai RM1,800 satu tan.

“Masalahnya bila beli terlalu tinggi, bagaimana nak jual pula beras dengan harga agak murah.

“Sebab itu kerajaan melihat dari semasa ke semasa untuk meletakkan harga lantai itu,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu memeriksa tanaman cili yang ditanam ketika hadir pada lawatan kerja ke Projek Ladang Satelit Ehsan Tani di Kampung Sungai Kelambu, Banting. Foto SADIQ SANI, 13 JANUARI 2025

Terdahulu beliau melakukan lawatan kerja ke projek penanaman cili merah di Ladang Satelit Ehsan Tani di Sungai Kelambu, Banting.

Rabu lalu, MalaysiaGazette melaporkan Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) membantah penurunan harga belian padi antara RM1,500 hingga RM1,800 kepada RM1,300 satu tan metrik.

Pengerusinya, Abdul Rashid Yob berkata, penetapan harga itu didakwa tidak adil dan langsung tidak mencerminkan realiti kos pengeluaran padi yang semakin meningkat tanpa mengambil kira keluhan golongan pesawah.

Ditanya tentang “kehilangan” beras putih tempatan, beliau berkata kemusnahan hasil makanan ruji itu sehingga 20,000 hektar di Kelantan dan Terengganu akibat banjir hujung tahun lalu antara punca bekalan terus merosot di pasaran.

“Itu masih kita buat dengan pelbagai pemain industri, penanam padi dan sebagainya, pegawai-pegawai kita sedang bincang secara intensif, yang paling penting kita nak meningkatkan hasil beras itu.

“Buat masa ini kita ikhtiar dengan pelbagai cara, kita hilang lebih 20,000 hektar hasil pembangunan dan anak-anak muda pula tidak mahu menyambung sawah yang diusahakan oleh ibu bapa mereka,” katanya.

Katanya, program penanaman padi dengan tuaian lima musim dalam tempoh dua tahun dijangka dapat menyelesaikan masalah “kehilangan” beras putih tempatan di pasaran.

“Sekarang kita cuba bangunkan semula kawasan sawah padi itu dengan pelbagai cara sama ada melalui kerajaan ataupun swasta ataupun individu kita cuba laksanakan.

“Yang paling awal ini lima musim untuk dua tahun akan dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada awal tahun ini, antara Januari atau Februari di Kedah ke arah menambahkan hasil,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here