Siti Rohani ketika meninjau keadaan paras air Sungai Johor, Kota Tinggi, hari ini.

KOTA TINGGI – Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor akan mendapatkan bantuan aset dari negeri lain dalam berdepan banjir sekiraya keadaan bertambah buruk di negeri ini.

Pengarah JBPM Johor, Siti Rohani Nadir berkata, setakat ini tiga buah lori lima tan dari Pusat Gerakan Operasi Kebangsaan JBPM sudah ditempatkan di tiga daerah yang terjejas iaitu Kota Tinggi, Johor Bahru dan Batu Pahat.

“Aset ini akan digerakkan jika keadaan memerlukan bagi membantu melancarkan operasi menyelamat berdasarkan situasi semasa.

“Banjir di Johor memasuki gelombang ketiga telah bermula sejak 10 Januari lepas sampai hari ini.

“Di Johor setakat hari ini ada empat daerah terjejas dari lima daerah sebelum ini yang masih banjir iaitu di Kota Tinggi, Pontian, Johor Bahru dan Kluang. Satu daerah di Kulai telah ditutup,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas ditemui membuat tinjauan keadaan paras air di Sungai Johor, di sini, hari ini.

Katanya, JBPM Johor sentiasa memantau situasi cuaca di negeri ini daripada maklumat Jabatan Meteorologi Malaysia, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Pusat Gerakan Operasi Bencana.

Pihaknya sudah melakukan persiapan sejak di peringkat awal lagi dan ketika ini situasi masih terkawal namun menjangkakan ada luruan hujan berikutnya pada 15 Januari hingga 17 Januari.

“Kita telah arahkan semua balai-balai di Johor untuk sentiasa bersiap siaga bukan hanya libat balai bomba di empat daerah terjejas tetapi semua,” katanya.

Siti Rohani berkata, bagi daerah Kota Tinggi pemantauan dan rondaan dilakukan di sekitar kawasan utama di Sungai Johor.

“Setiap hari semua anggota di balai buat pemantauan di kawasan hotspot banjir bagi kenal pasti paras air dan dalam masa sama beri nasihat kepada orang ramai yang tinggal berdekatan sungai.

“Hari ini kita lihat paras air tinggi dan kita jangka bila berlaku pertembungan air pasang, paras air dijangka akan lebih tinggi dan kemungkinan berlaku banjir lebih besar di sini,” katanya.

Tambahnya, bagi daerah ini, JBPM Johor juga menggerakkan pasukan gerak cepat untuk membantu operasi banjir yang berlaku.

“Pasukan tersebut melibatkan seorang pegawai dan 12 anggota ditempatkan di BBP Kota Tinggi di mana pasukan dilengkapkan dengan sebuah lori, bot dan kenderaan utiliti,” katanya.

Beliau juga memaklumkan keanggotaan harian di negeri ini melibatkan seramai 263 anggota, sekiranya keadaan banjir tidak terkawal setiap balai akan diarahkan bertugas 24 jam untuk pastikan operasi menyelamat lebih efisien. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here