PONTIAN – Bomba menyelamatkan dua warga emas yang menjadi mangsa banjir dan terperangkap dalam rumah mereka di Kampung Chokoh, di sini, hari ini.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor dalam kenyataan memberitahu, warga emas itu melibatkan seorang wanita berusia 82 tahun dan lelaki berusia 62 tahun.
“Mereka yang sudah uzur dipindahkan dengan mengusung dan menggunakan satu unit strecher ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Sinaran Chokoh.
“Warga emas tersbeut merupakan antara mangsa banjir yang dipindahkan semasa melakukan rondaan di empat buah kampung antara pukul 9.30 pagi hingga 2 petang tadi.
“Ini melibatkan Kampung Chikoh, Kampung Serkat, Kampung Penerok dan Kampung Parit Rambai selepas mendapati paras air naik ekoran fenomena air pasang besar,” menurut kenyataan itu.
Pihak bomba turut memberikan khidmat nasihat kepada penduduk terbabit supaya berwaspada dan berpindah sekiranya paras air semasa naik semasa pertembungan air pasang.- MalaysiaGazette