KUALA LUMPUR – Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Selangor bertindak menyita sebuah kereta, beberapa guni dan sangkar yang dipercayai digunakan bagi mengangkut kucing sebelum dibuang di kawasan pangsapuri di Batu 9, Cheras baru-baru ini.
Pada masa sama, DVS telah mengambil beberapa keterangan suspek yang terlibat dalam kes terbabit mengikut Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah [Akta 593].
“DVS telah mengesan video tular berdurasi 37 saat di pelbagai platform media sosial sejak kelmarin memaparkan sekumpulan orang awam meletakkan beberapa ekor kucing di dalam guni dan memasukkannya ke dalam but kereta jenis sedan Nissan Sentra di sekitar daerah Kajang.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan Pegawai Kebajikan Haiwan Negeri Selangor telah bergegas ke lokasi aduan untuk menjalankan pemeriksaan aduan itu semalam.
“Pemeriksaan awal pasukan mendapati, kejadian dilaporkan berlaku antara pukul 9 pagi sehingga 3 petang kelmarin melibatkan penduduk di sekitar lokasi aduan dalam program gotong-royong anjuran bersama pihak pengurusan bangunan (JMB) perumahan berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah DVS, kes itu akan disiasat dibawah Subseksyen 29(1) Akta Kebajikan Haiwan 2015 [Akta 772] dan kertas siasatan akan dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya negeri Selangor setelah siasatan dilengkapkan.
Semalam, MalaysiaGazette melaporkan, polis sedang menjalankan siasatan berkaitan penganiayaan beberapa kucing didakwa dimasukkan ke dalam guni dan dibuang di sebuah pangsapuri di Batu 9, Cheras kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof melaporkan, pihaknya telah menerima dua laporan berkaitan perkara itu sekitar jam 10.58 malam pada 11 Januari dan semalam. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: