KUALA LUMPUR – Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) mencadangkan supaya jawatan Premier Sarawak digazetkan semula sebagai Perdana Menteri Sarawak.
Presiden Aspirasi, Lina Soo berkata, ia selaras dengan kedudukan Sarawak sebagai rakan setara dengan Kerajaan Pusat di Semenanjung.
Malah langkah itu bukan sesuatu yang baharu memandangkan Lee Kuan Yew pernah disebut sebagai Perdana Menteri Singapura ketika Singapura masih lagi sebahagian daripada Malaysia.
“Menamakan semula Premier Sarawak sebagai Perdana Menteri Sarawak adalah wajar dan sah sekiranya kita konsisten dengan tuntutan status rakan setara dalam Persekutuan Malaysia,” katanya menerusi satu kenyataan seperti dipetik laman web Borneo Post online.
Tambah Lina, tuntutan itu juga dilihat sesuai memandangkan Premier Sarawak kini, Tan Sri Abang Johari Tun Openg turut memegang tiga portfolio utama lain.
Antaranya, kata beliau, sebagai Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu; Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli dan Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar.
Dalam masa sama, Lina turut mencadangkan penubuhan Kabinet baharu iaitu Menteri Minyak (Minister for Oil) khusus bagi mengembalikan hak milik minyak dan semua hak ekonomi kepada Sarawak.
“Kementerian Minyak mesti dilengkapkan dengan pakar undang-undang minyak dan perlembagaan serta penasihat undang-undang antarabangsa bertaraf tinggi, yang berdedikasi untuk mendapatkan semula apa yang menjadi hak Sarawak kerana Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar tidak sesuai dan tidak mampu menjalankan fungsi ini,” katanya.
Abang Johari yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menyambut ulang tahun kelapan kepimpinan beliau sebagai Premier Sarawak hari ini.
Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof turut menyifatkan Abang Johari sebagai seorang pemimpin yang komited dan berwawasan dalam mentadbir negeri.
Menurut Fadillah yang juga Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS), banyak pencapaian yang telah dilaksanakan Abang Johari terutamanya dari segi komitmen beliau untuk menambah pendapatan Sarawak selain berpandangan jauh untuk menceburi bidang-bidang tertentu. – MalaysiaGazette