Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu memeriksa cili yang ditanam ketika lawatan kerja ke Projek Ladang Satelit Ehsan Tani, turut sama Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang, Datuk Mahfuz Omar di Kampung Sungai Kelambu, Banting. Foto SADIQ SANI, 13 JANUARI 2025

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) akan mengkaji langkah untuk mengawal kemasukan tanaman kontan termasuk cili merah ke negara ini bagi mengelakkan berlakunya lambakan hasil di pasaran.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pengawalan pengimportan hasil tani itu penting bagi memastikan harga tanaman kontan itu tidak mengalami ketidaktentuan harga khususnya menjelang musim perayaan.

“Kita akan cuba bertindak, Insya-Allah. Kita ada bincang di peringkat pegawai minggu lalu dan kita akan lihat supaya tidak berlaku lambakan dalam keadaan sekarang.

“Masalah harga sayur ini sudah berzaman. Kadang-kala naik terlalu tinggi, turun terlalu rendah tetapi pengawalan itu mesti ada,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

 

Terdahulu beliau melakukan lawatan kerja ke projek penanaman cili merah di Ladang Satelit Ehsan Tani di Sungai Kelambu, Banting.

Mohamad juga berkata, kerajaan akan meluaskan dan menggalakkan petani tempatan mengusahakan penanaman kontan cili merah di pelbagai kawasan dan tidak terlalu bergantung kepada sesuatu tempat sahaja.

“Sayur-sayuran kalau kita bergantung kepada Cameron Highlands, kalau dia bermasalah maka akan terjejas sayur-sayuran di seluruh Malaysia.

“Kita lihat penanaman cili yang diusahakan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuala Langat amat memberangsangkan, moden dan secara mitigasi.

“Kita tengok ladangnya bersih dan kita minat untuk masuk ke ladang bukan dipenuhi dengan semak-samun,” katanya.

Selain itu, katanya, kaedah penanaman berkelompok itu dapat membantu petani-petani tempatan hingga boleh meraih pendapatan lebih RM3,000 sebulan.

“Pendapatan RM3,000 ke atas agak selesa kepada mereka yang berada di kampung, ini yang kita harapkan. Sekarang ini dibina di 10 ekar tanah, 40,000 polibag dan melibatkan 20 peserta sepenuh masa.

“Mereka sendiri menanam sayur itu adalah kerjaya dan meningkatkan pendapatan sambil dipantau PPK Kuala Langat yang memberi tunjuk ajar.

“Kejayaan ini diharap pergi ke tempat lain bukan hanya cili tetapi juga tanaman lain,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here