Muhd Arshad.

GEORGE TOWN – Pertubuhan Kebajikan Ihsan Muda Pulau Pinang mengingatkan kepimpinan Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) agar tidak mengulas dan mencampuri urusan sentimen umat Islam di negara ini.

Presidennya, Muhd Arshad Abdul Rahman berkata, ia susulan kenyataan DAPSY yang menyelar tindakan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhammad Akmal Saleh dalam mempertikaikan isu penemuan produk makanan ‘ham dan cheese’ yang status halalnya diragui dijual di sebuah kedai serbaneka di Universiti Malaya (UM).

“Persoalan yang dibangkitkan oleh Muhammad Akmal adalah wajar dan berlandaskan konsep Islam. Malah, kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar turut mengesahkan bahawa produk tersebut tidak mempunyai sijil halal yang sah.

“Kesalahan dalam penggunaan logo halal adalah isu serius yang perlu ditangani dengan penuh teliti.

“Justeru campur tangan DAPSY dalam isu produk ‘ham and cheese sandwich’ tidak mempunyai sijil halal adalah tidak wajar dan hanya akan mengeruhkan keadaan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah Muhd Arshad, pihaknya turut berharap kepimpinan DAPSY dapat menumpukan perhatian untuk mengutarakan kesalahan yang dilakukan oleh pihak terbabit serta membuat laporan polis terhadap mereka yang menyalahgunakan logo halal.

“Kepimpinan DAPSY seharusnya fokus pada usaha memperkukuh perpaduan berbilang kaum di Malaysia dan menghormati sensitiviti umat Islam dalam isu-isu berkaitan agama,” katanya.

Terdahulu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengesahkan produk ‘ham and cheese sandwich’ tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) dan syarikat yang menghasilkan produk terbabit bukan pemegang SPHM.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, Bahagian Pengurusan Halal Jakim menerima banyak pertanyaan di media sosial berkenaan produk ‘ham and cheese sandwich’ yang diragui status halal.

“Jakim sudah melaksanakan pemeriksaan di lapangan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pada Jumaat lalu sebelum mendapati bahawa produk berkenaan tidak mempunyai SPHM dan syarikat yang menghasilkan produk terbabit bukan pemegang SPHM.

“Oleh itu, tindakan pihak syarikat mencetak logo halal Malaysia pada label produk berkenaan adalah suatu kesalahan mengikut Akta Perihal Dagangan 2011 [Akta 730] iaitu Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 dan tindakan undang-undang sudah diambil oleh KPDN,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here