Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf

KUALA LUMPUR – Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman berjaya melumpuhkan sekurang-kurangnya 40 sindiket penipuan sepanjang tahun 2024 melalui operasi pusat panggilan (call center) yang menjadi tulang belakang kegiatan penipuan.

Pengarahnya, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, sebanyak 222 serbuan telah dilakukan di seluruh negara dalam tempoh tersebut.

“Hasil operasi tersebut, seramai 1,679 individu telah diberkas termasuk 912 warganegara Malaysia.

“Selebihnya iaitu 767 orang, terdiri daripada warga asing dari pelbagai negara dan siasatan turut mendedahkan bahawa antara mereka yang ditahan, 10 individu merupakan dalang utama manakala 20 lagi bertindak sebagai pengurus dan 48 sebagai penyelia operasi,” katanya dalam satu sidang media di sini hari ini.

Menurut Ramli, baki individu yang ditahan memainkan pelbagai peranan penting dalam sindiket tersebut termasuk unit kewangan (27 orang), pengurus sim kad (8 orang), pengaturcara (43 orang), operator pusat panggilan (1,475 orang) dan pekerja am (48 orang).

Jelasnya, sepanjang tahun lalu, JSJK turut melaksanakan sebanyak 24,388 operasi dan serbuan berkaitan jenayah komersial yang membawa kepada penahanan 25,829 individu atas pelbagai kesalahan.

“Usaha membanteras sindiket penipuan tidak akan terhenti di sini dan kami merancang untuk memperluas tindakan penguatkuasaan pada tahun 2025 dengan pendekatan yang lebih tegas bagi memastikan aktiviti penipuan dapat dibasmi sepenuhnya.

“Dengan langkah ini, JSJK berharap dapat melindungi masyarakat daripada menjadi mangsa penipuan yang terus mengubah modus operandi mereka,” ujarnya.

Orang ramai juga digesa untuk terus berwaspada dan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here