KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar selesai diambil keterangan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) petang tadi berhubung kenyataannya mengenai Titah Adendum.
Proses rakaman keterangan mengambil masa tidak sampai sejam bermula jam 5.15 petang dan selesai pukul 6 petang sebelum beliau dilihat keluar dari pejabat Keluar Sekejap di Damansara, di sini.
Menurut Khairy, beliau selesai memberi keterangan dan bekerjasama sepenuhnya kepada pihak polis bagi membantu siasatan.
“Saya telah selesai memberikan keterangan kepada pihak PDRM berkaitan laporan-laporan polis yang telah dibuat terhadap saya. Banyak juga soalan ditanya tapi saya tidak ingat.
“Itu sahajalah… saya nak mengesahkan bahawa saya selesai memberi keterangan. Terima kasih kepada pihak PDRM dan terima kasih kepada pihak media,” katanya ketika ditemui wartawan.
Tinjauan di lokasi mendapati, seramai tiga pegawai polis dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman hadir ke studio itu pada jam 4.40 petang.
Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, dilapor memaklumkan polis akan merakam keterangan Khairy, petang ini.
“Kertas siasatan akan dibuka mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 500 Kanun Keseksaan.
“Siasatan dijalankan susulan laporan diterima daripada pengadu, Setiausaha Politik kepada Azalina di Balai Polis Sentul pada Jumaat lalu,” katanya.
Sebelum ini, Khairy menerusi siaran audio siar ‘Keluar Sekejap’ mendakwa terdapat krisis kepercayaan terhadap bekas partinya, UMNO susulan isu Titah Adendum yang melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Khairy mendakwa Azalina bersubahat menyembunyikan dokumen tambahan yang membenarkan Najib menghabiskan hukuman pemenjaraannya dengan menjalani tahanan di rumah. – MalaysiaGazette