Azman (kiri) semasa melawat PPS di SJKC New Kota, Kota Tinggi, hari ini

KOTA TINGGI – Kementerian Pendidikan (KPM) menyediakan bilik khas di pusat pemindahan sementara (PPS) kepada calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terjejas dengan banjir.

Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan berkata, kemudahan itu diberikan agar semua calon yang terkesan dapat mengulang kaji pelajaran dalam keadaan selesa dan tenang.

“Calon SPM yang terkesan juga disediakan ruang tidur dan istirehat yang berasingan daripada mangsa banjir lain.

“Calon SPM ini tidak tidur dengan mangsa banjir lain di khemah, jadi keselesaan dan kesejahteran telah diberi kepada anak murid.

“Pada hari ini hanya seorang calon SPM (yang terkesan dengan banjir) menduduki kertas Matematik Tambahan) dan esok sembilan lagi calon SPM akan menduduki peperiksaan SPM kertas mata pelajaran Sains di Kota Tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) New Kota di sini hari ini.

Katanya, bagi pelajar sekolah rendah dan menengah yang menjadi mangsa banjir pula, mereka mengikuti kaedah pengajaran dan pembelajaran (PDP) yang disediakan pihak sekolah.

Menurut Azman, setakat ini pengendalian kaedah PDP berjalan lancar dengan berbaki hanya seminggu lagi sesi persekolahan.

Setakat ini, di Johor terdapat 38 calon SPM yang terkesan dengan banjir dan daripada jumlah tersebut seramai 21 berlindung di PPS.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here