KOTA TINGGI – Seramai lapan kru warganegara Indonesia sempat menyelamatkan diri sebelum kapal tangki mereka karam pada kedudukan 7.2 batu nautika Tenggara Tanjung Penyusop, Pengerang di sini semalam.
Pemangku Pengarah Maritim Johor, Kepten Maritim Kama Azri Kamil berkata, kapal tangki tersebut tenggelam selepas mengalami kebocoran namun tidak disedari bila mula bocor.
“Tidak dapat disahkan lokasi kebocoran yang berlaku dan faktor cuaca buruk menyebabkan keadaan bertambah teruk.
“Sebelum kapal tangki yang berdaftar di Malaysia itu tenggelam pada pukul 6 petang, kru terbabit sempat melepaskan suar api kecemasan untuk memohon bantuan.
https://malaysiagazette.com/2025/01/12/kapal-tangki-terbakar-14-kru-selamat/
“Anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang bertugas di Abu Bakar Maritime Base (ABMB) mengesan kapal tangki itu sebelum memohon bantuan melalui radio pada pukul 4.40 petang.
“Kejadian itu kemudian dilaporkan kepada Maritim Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru. Operasi mencari dan menyelamat diaktifkan pada pukul 5 petang.
“Kapal Maritim (KM) Niah diatur gerak ke lokasi kejadian. Bantuan aset juga disalurkan kepada Markas Wilayah Laut Satu (Mawilla 1) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, sekitar pukul 5.45 petang, dilaporkan semua lapan kru kapal tangki tersebut telah meninggalkan kapal tangki berkenaan dengan menaiki rakit kecemasan.
Mereka katanya, kemudian diselamatkan sebuah kapal tangki berdaftar di Indonesia yang berada di kawasan berhampiran.
“Pihak Maritime Rescue Coordination Centre (MRCC) Putrajaya dengan kerjasama Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas) Republik Indonesia bekerjasama memastikan urusan pemindahan semua mangsa ke Batu Ampar, Batam berjalan lancar,” katanya.
Pihak Jabatan Laut Wilayah Selatan juga katanya, sudah dimaklumkan bagi menghantarpemakluman kepada kapal-kapal dagang berhampiran mengenai kejadian itu dan tindakan selanjutnya untuk keselamatan kapal di lokasi kejadian yang berada dalam perairan Malaysia.
Operasi tersebut ujarnya, ditamatkan pada pukul 11.45 malam tadi selepas semua mangsa disahkan selamat dan dipindahkan ke Pangkalan Kesatuan Penjagaan Laut dan Pantai (KPLP) Republik Indonesia di Pulau Bintan dengan menggunakan kapal KN Sarotama.
“MRSC Johor Bahru menasihatkan kepada semua komuniti maritim agar berhati-hati di laut terutama sewaktu musim cuaca buruk dan angin kuat ketika ini,” katanya.- MalaysiaGazette