KUALA LUMPUR – Dasar pelesenan media sosial yang berkuat kuasa 1 Januari lalu merupakan langkah besar kerajaan dalam menyediakan persekitaran internet yang selamat kepada pelbagai latar belakang dan lapisan pengguna di negara ini.
Secara asasnya, dasar menerusi Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) itu mampu mengawal penyebaran berita palsu, melindungi pengguna dari jenayah siber dan memastikan platform media sosial bertanggungjawab terhadap kandungan mereka.
Dasar itu juga menyediakan kerangka kerja yang jelas untuk menangani masalah seperti buli siber dan eksploitasi data, iaitu antara ancaman serius yang sedang dihadapi pengguna internet di negara ini.
Bagi Pensyarah Kanan Jabatan Sistem dan Teknologi Komputer, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Universiti Malaya (UM), Dr. Saaidal Razalli Azzuhri, dasar itu juga memberi manfaat secara menyeluruh bukan hanya kepada pengguna, malah juga kepada penyedia internet dan platform media sosial serta kerajaan.
Dari sudut pengguna, jelas beliau, secara umumnya, mereka kini boleh mengakses internet dan platform media sosial dengan lebih selamat dan dilindungi daripada ancaman seperti penipuan, kebencian dan fitnah.
Tambahnya, keyakinan dan kepercayaan pengguna itu turut memberi kelebihan kepada penyedia internet dan platform media sosial untuk mereka meningkatkan serta memperluaskan pengoperasian di negara ini.
“Dari sudut kerajaan pula, sudah semestinya dasar pelesenan media sosial ini dapat membantu menangani ancaman keselamatan yang semakin kompleks hari ini khususnya ekstremisme dalam talian serta banyak lagi,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Tambah Saaidal Razalli, kerajaan kini perlu menumpukan usaha ke arah memastikan dasar pelesenan media sosial yang sudah dikuatkuasakan itu benar-benar mencapai matlamat dan objektif ditetapkan.
Jelas beliau, dasar itu tidak akan berjaya sekiranya tidak ada kesedaran dan pemahaman yang jelas dalam kalangan pengguna, yang hanya boleh dicapai dengan meningkatkan pendidikan digital rakyat.
Dalam masa sama, ujarnya, kerajaan juga perlu melibatkan semua pihak termasuk pengguna dan platform media sosial dalam perancangan dasar bagi memastikan polisi yang dikuatkuasakan turut melindungi individu kecil, bukan hanya entiti besar.
Sementara itu, ditanya berkenaan kebimbangan segelintir pihak yang mendakwa langkah pelesenana media sosial akan menghalang kebebasan bersuara, Saaidal Razalli berkata, dasar tersebut seharusnya dilihat dari aspek memastikan keselamatan, bukannya kawalan berlebihan.
Tambahnya, melangkah ke depan, kerajaan barangkali boleh mengelak persepsi sedemikian dengan membentuk dasar yang telus dan boleh dicabar melalui mekanisme aduan yang adil, serta melakukan penilaian kesan kepada kebebasan sebelum menguatkuasakan sesuatu polisi.
“Namun, secara keseluruhannya, pelesenan media sosial ini penting untuk keselamatan digital, tetapi mesti dilaksanakan secara telus, adil dan seimbang bagi melindungi kebebasan pengguna,” katanya. – MalaysiaGazette