Anggota bomba memindahkan mangsa banjir di Kampung Paya Sungai Redan semalam ke PPS Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Nam Heng

JOHOR BAHRU – Mangsa banjir di negeri ini mula berkurangan dengan jumlah terkini seramai 2,538 orang daripada 741 keluarga ditempatkan di 31 pusat pemindahan sementara (PPS), setakat pukul 6 petang tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, jumlah itu berkurangan berbanding 3,973 orang daripada 1,113 keluarga yang dipindahkan di 38 PPS, 8 pagi tadi.

Beliau berkata, daerah Kulai pulih sepenuhnya daripada banjir setelah 764 orang daripada 191 keluarga di lima PPS pulang ke rumah masing-masing.

“Kota Tinggi kekal menjadi daerah paling teruk terjejas akibat banjir setelah jumlah mangsa banjir meningkat kepada 1,328 orang daripada 389 keluarga berbanding 1,313 orang daripada 376 keluarga pada pukul 8 pagi tadi.

“Dua PPS baru dibuka pada pukul 11 pagi dan 2 petang tadi di kawasan Tanjung Surat melibatkan Sekolah Kebangsaan (SK) Lepau dan SK Punggai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azmi yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri berkata, jumlah mangsa banjir di Pontian pula mencatatkan sedikit peningkatan kepada 623 orang daripada 173 keluarga berbanding 595 orang daripada 161 keluarga.

“Keadaan banjir di Johor Bahru juga hampir pulih sepenuhnya setelah tinggal satu PPS sahaja yang beroperasi iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Nam Heng di Tebrau yang menempatkan 53 orang daripada 16 keluarga.

“Jumlah itu berkurangan berbanding 808 penduduk daripada 233 keluarga di lima PPS yang direkodkan pada pagi tadi,” ujarnya.

Katanya, mangsa banjir di Kluang mencatatkan sedikit penurunan daripada 550 penduduk daripada 160 keluarga berbanding 534 penduduk daripada 161 keluarga.

Menurutnya, setakat ini, hanya sebatang sungai masih merekodkan tahap bahaya iaitu Sungai Kahang di Kluang.

“Jalan yang masih terputus hubungan ialah Jalan Mawai Lama (rumah burung) di Kota Tinggi yang ditutup sepenuhnya,” ujarnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here