KUALA LUMPUR – Sebanyak 21 kenderaan perdagangan disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menerusi Ops Khas Puspakom yang bermula sejak 31 Disember lalu sehingga kini.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, kenderaan itu disita hasil pemeriksaan JPJ di 37 Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) di seluruh negara sepanjang tempoh tersebut.
Jelas beliau, kenderaan yang disita itu didapati gagal mematuhi Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) antaranya melibatkan kesalahan Lesen Perdagangan Kenderaan Motor palsu dan menggunakan kenderaan tidak berdaftar.
Kesalahan lain, ujar beliau, termasuk Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan insurans tamat tempoh serta menggunakan Lesen Perdagangan Kenderaan Motor syarikat lain.
“Daripada jumlah sitaan itu, JPJ turut mengesan sebuah lori diluluskan oleh pihak Puspakom sedangkan keadaan fizikal kenderaan berkenaan tidak mematuhi standard keselamatan kenderaan.
“Tindakan sitaan terhadap kenderaan itu diambil di bawah Seksyen 64(1) Akta 333 bagi mengelakkan berlaku kesalahan berterusan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ops Khas Puspakom dilaksana untuk memastikan keselamatan kenderaan dan membendung kesalahan teknikal pada kenderaan perdagangan sebelum, semasa, dan selepas melakukan pemeriksaan berkala atau awalan.
Tambah Aedy Fadly, JPJ turut mengadakan kerjasama strategik dengan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi kes melibatkan penyelewengan terhadap keputusan pemeriksaan kenderaan di Puspakom.
Dalam masa sama, ujar beliau, JPJ juga akan mengadakan penguatkuasaan secara berterusan dan bersepadu dengan agensi penguat kuasa yang lain.
“JPJ sentiasa komited dalam memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya dan berusaha meminimumkan kadar kemalangan dan kematian akibat nahas jalan raya terutama yang melibatkan kenderaan perdagangan,” katanya. – MalaysiaGazette