KUALA LUMPUR – Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang diperkenalkan kerajaan perlu menumpukan kepada kebaikan jangka panjang pesara pada masa depan.
Pengerusi Hak Konsumer Sejahtera, Shahir Adnan berkata, tidak dinafikan semakan semula selari dengan perkembangan semasa serta seiring dengan peranan yang perlu dimainkan oleh perkhidmatan awam dalam mencapai aspirasi nasional yang digariskan menerusi dokumen-dokumen dasar termasuk Rancangan Malaysia Ke-12.
Malah ia turut merangkumi Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMKe-12) yang memberi fokus kepada keberkesanan dan pencapaian keberhasilan dalam penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
“Bagaimanapun terdapat dua isu besar yang perlu diperjelas oleh kerajaan iaitu persoalan yang ssring berlegar-legar di kalangan penjawat awam berkenaan pelarasan yang diterima pada 1 Disember 2024 sebanyak lapan peratus dan 31 Disember 2025 sebanyak 7 peratus.
“Persoalannya, berkenaan apa yang berlaku kepada penjawat awam yang tidak memilih opsyen SSPA. Adakah mereka dianaktirikan?
“Persoalan lain adalah berkenaan kenaikan gaji penjawat awam akan dinaikkan secara konsisten dalam 7-8 peratus melalui sistem SSPA bakal dikurangkan lebih rendah mengikut sistem lama SSM pada tahun ketiga?” soalnya menerusi kenyataan hari ini.
Bagi persoalan kedua pula, Shahir berkata, sehingga kini, SSPA terpakai kepada pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan melalui Pekeliling Perkhidmatan SSPA yang akan dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada September 2024.
Peruntukan Pekeliling Perkhidmatan SSPA berkenaan pada keseluruhannya turut dipanjangkan kepada semua perkhidmatan awam negeri, pihak berkuasa tempatan dan badan berkanun tertakluk kepada penerimaan oleh pihak berkuasa masing-masing.
“Adakah ahli-ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ahli Dewan Negara tidak terikat dengan perlaksaan SSPA?
“Jika tidak, mereka semua masih mendapat keistimewaan pencen, namun penjawat awam yang baru mula bekerja hilang keistimewaan tersebut. Rakyat terus menderita, pemimpin pula kekal berkuasa,” katanya. – MalaysiaGazette