SHAH ALAM – Pembantu Tadbir Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Muhammad Amin Rosdan mengaku bersalah atas dua pertuduhan memperoleh rasuah RM3,000 sebagai upah tidak mengeluarkan Notis Tindakan Pembetulan (NTP) ke atas tuntutan sebuah syarikat pembersihan kawasan di Zon SA-PK 1, Seksyen 16 di sini.
Lelaki berusia 31 tahun itu membuat pengakuan tersebut di Mahkamah Sesyen pagi tadi.
Berdasarkan pertuduhan, lelaki itu pada 7 Mei hingga 13 Disember 2019 dan 7 Febuari hingga 13 Jun 2020 menerima wang RM1,800 dan RM1,200 daripada Mohamad Faiz Mohammad Ghaus balasan tidak mengeluarkan notis tersebut kepada Syarikat ASA FS Enterprise berkaitan.
Muhammad Amin yang turut berdepan dua tuduhan pilihan didakwa melakukan kesalahan itu di Maybank Cawangan Menara Klang Klang, Selangor.
Dia dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 17(a) akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 atau seksyen 165 Kanun Keseksaan (Akta 574).
Terdahulu Pegawai Pendakwaan itu ialah Muhammad Arif Asyraf Mohd Khairi dan Mohd Alimi Mustafa.
Bagaimanapun, lelaki itu tidak diwakili peguam.
Hakim, Datuk Mohd Nasir Nordin kemudian menjatuhkan hukuman denda RM15,000 bagi kedua-dua kesalahan, jika gagal dia boleh dipenjara selama setahun.- MalaysiaGazette