KUALA LUMPUR – Penjawat awam diingatkan sentiasa berpegang kepada integriti dengan tidak memejamkan mata dan memekakkan telinga terhadap sebarang perlakuan rasuah.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, ini kerana tindakan berdiam diri terhadap kegiatan rasuah itu boleh ditafsir sebagai bersubahat dengan penjenayah rasuah.
Tegas beliau, pemerhatian pihaknya mendapati ketika ini masih ramai penjawat awam yang memiliki tahap integriti rendah apabila tidak takut kepada larangan keras agama dan undang-undang yang berkuat kuasa berhubung jenayah rasuah.
“Malah mereka ini keras hati, tidak pandang pun ganjaran pengiktirafan dalam bentuk kewangan oleh kerajaan (sekiranya melaporkan kegiatan rasuah).
“Sebaliknya, ada dalam kalangan mereka ini lebih suka mengambil duit haram dan kumpul harta haram yang dilaknat Allah SWT dan menyalahi undang-undang.
“Inilah bahananya sekiranya pegawai awam tidak berintegriti ini masih berada dalam perkhidmatan awam,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook MCW semalam.
Mengikut rekod Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), bagi tempoh antara tahun 2012 hingga 2020, hanya 0.01 peratus daripada sejumlah 1.53 juta pegawai awam yang berani melaporkan kes jenayah rasuah dalam jabatan atau agensi masing-masing.
Dalam pada itu, Jais menyifatkan statistik pegawai awam yang melaporkan kegiatan rasuah kepada SPRM tersebut terlalu rendah dan tidak sepatutnya berlaku, sekali gus mengingatkan adalah menjadi satu kesalahan jika pegawai awam tidak melaporkan kes jenayah rasuah.
Ujar beliau, kegagalan berbuat demikian akan mendedahkan pegawai awam terlibat kepada tindakan undang-undang mengikut Seksyen 25, Akta SPRM 2009 yang berdepan dengan denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali.
Jelas beliau, kerajaan juga menyediakan insentif kepada pegawai awam yang berani melaporkan rasuah seperti yang terkandung dalam Garis Panduan Pengiktirafan Kepada Penjawat Awam Yang Melaporkan Pemberian Atau Penerimaan Rasuah itu.
Dalam masa sama, ujarnya, pegawai awam juga tidak perlu takut kerana ada peruntukan undang-undang yang akan melindungi pemberi maklumat atau melaporkan suapan rasuah kepada SPRM iaitu di bawah Seksyen 65, Akta SPRM 2009 dan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.
“Sekiranya ramai dalam kalangan pegawai awam melaporkan cubaan atau tawaran suapan rasuah kepada mereka, sudah tentu orang awam khususnya penjenayah, penyeludup atau sindiket terlibat dengan pelanggaran undang-undang dan peraturan berkuat kuasa akan kecut perut dan menggerunkan mereka untuk menawarkan suapan rasuah,” katanya. – MalaysiaGazette