Kumarasan menunjukkan rantai emas dan barangan yang dirampas dalam kes samun, selepas sidang akhbar di IPD Iskandar Puteri, hari ini.

ISKANDAR PUTERI – Polis berjaya menyelesaikan satu kes samun dalam tempoh 24 jam dengan tertangkapnya seorang lelaki dan merampas beberapa barang curi pada 5 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, kejayaan pihak polis menangkap suspek lelaki itu berjaya menyelesaikan satu kes samun yang berlaku di sebuah rumah di Bandar Selesa Jaya, Skudai, di sini.

“Pihak polis menerima laporan daripada seorang pengadu iaitu lelaki warga tempatan berusia 55 tahun memaklumkan, pada pukul 7.30 pagi, 5 Januari lalu semasa bangun dari tidur mendapati rumahnya berselerak.

“Barang-barang dalam rumah serta kereta depan rumah hilang,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri, di sini, hari ini.

Katanya, bertindak atas maklumat, pasukan petugas khas IPD Iskandar Puteri membuat tangkapan seorang lelaki warga tempatan, 35, di Taman Mutiara Utama, Gelang Patah di sini.

Hasil semakan katanya, mendapati suspek mempunyai 13 rekod kesalahan jenayah dan lima rekod kesalahan dadah.

Menurut Kumarasan, ujian saringan air kencing suspek mendapatinya positif dadah.

“Modus operandi suspek adalah dengan mencuba memasuki mana-mana rumah yang didapati tidak berkunci,” katanya.

Menerusi tangkapan tersebut katanya, pihak polis merampas barang antaranya sebuah kereta Perodua Alza, sebilah pisau, tujuh peralatan digunakan untuk pecah rumah dan 43 keping wang kertas.

Beliau memberitahu, kes disiasat bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan pencerobohan, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 14 tahun.

Suspek katanya, disiasat bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun dan didenda.

Suspek katanya, sedang ditahan reman selama 12 hari bermula 6 hingga 17 Januari ini.

Kumarasan menambah, dengan tertangkapnya suspek, pihak polis berjaya menyelesaikan tiga kes pecah rumah di kawasan Nusa Bestari dan Kangkar Pulai.

“Pihak polis mengucapkan ribuan terima kasih atas kerjasama orang ramai yang telah menyalurkan maklumat hingga kes ini berjaya diselesaikan.

“Pihak polis juga menasihatkan orang ramai agar memastikan rumah sentiasa berkunci semasa ketiadaan penghuni” ujarnya.

Sebarang maklumat aktiviti jenayah boleh disalurkan ke balai polis berdekatan atau pusat kawalan daerah ini menerusi talian 07-5113622 atau hotline 075514486. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here