BALIK PULAU – Sepasang suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan memiliki 259.5 liter air ketum.
Tertuduh, Mohd Nasir Othman, 47, dan isterinya, Norhafizah Mohd Zamberi, 36, mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibaca secara bersama di hadapan Hakim Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin.
Mengikut pertuduhan mereka secara bersama-sama telah memiliki 259.5 liter cecair Mitragynine di sebuah rumah di Lintang Bayan 6, Sungai Ara, Bayan Lepas dekat sini pada 6 Januari lalu.
Bagi kesalahan itu, mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 30(5) akta yang sama.
Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau hukuman penjara tidak lebih dari lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Ketika prosiding Timbalan Pendakwa Raya, Lim Jin Hong menawarkan jaminan RM15,000 bagi setiap tertuduh.
Bagaimanapun, Mohd Nasir merayu jaminan rendah atas alasan perlu menyara dua isteri serta enam anak dengan pendapatan RM2,000 sebulan sebagai penghantar barang manakala isterinya turut memaklumkan mahkamah bahawa dia merupakan suri rumah selain anak bongsu mereka autisme dan masih menerima rawatan di hospital.
Mahkamah kemudian membenarkan masing-masing tertuduh diikat jamin RM8,000 dan menetapkan 12 Mac depan sebutan semula kes bagi menunggu laporan kimia.
Sementara itu, di mahkamah sama, Mohd Nasir turut mengaku bersalah atas tuduhan memiliki 18 liter cecair Mitragynine di lokasi dan masa sama dengan pertuduhan bersama isterinya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dan menetapkan 12 Mac depan sebutan semula kes bagi menunggu laporan kimia. – MalaysiaGazette