Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir bagi sambung prosiding bela diri kes penyelewengan dana 1MDB di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, Foto HARI ANGGARA, 13 DISEMBER 2024. (GAMBAR FAIL)

PUTRAJAYA – Datuk Seri Najib Tun Razak berpendirian, sumbangan politik yang diterimanya daripada keluarga diraja Arab Saudi tidak melanggar kod etika anggota pentadbiran, jadi ia tidak perlu dimaklumkan kepada Jemaah Menteri.

Bekas Perdana Menteri memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini, tindakan menerima derma berkenaan hanya menjadi kesalahan jika ia mempengaruhi keputusan yang dicapai.

Sehubungan itu, Najib berpendapat, derma politik tersebut tidak perlu diisytiharkan kepada Kabinet pada 2013, memadai dengan hanya memaklumkan bahawa ia diterima daripada Raja Abdullah bagi menyokong tugasnya mentadbir negara.

Beliau menyatakan demikian ketika pihak pendakwaan merujuk Perkara 5 Kod Etika Anggota-Anggota Pentadbiran 1997 sewaktu menyoal balasnya pada prosiding bela diri di Kompleks Mahkamah Istana Kehakiman, di sini.

Mahkamah sedang mendengar pembelaan Najib, 71, terhadap empat pertuduhan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan 21 tuduhan pengubahan wang haram.

Kod etika itu antara lain menyatakan anggota pentadbiran perlu mengelak menggunakan jawatannya untuk kepentingan peribadi seperti meminta atau menerima apa-apa hadiah, upah atau kemudahan yang boleh menjejaskan integriti mereka.

Perkara 8 (vi) pula menyatakan, anggota pentadbiran dilarang memiliki sumber-sumber kewangan atau harta alih atau tidak alih yang nilainya tidak seimbang dengan emolumen yang diperolehinya.

Pada prosiding itu, Najib ditanya oleh Timbalan Pendakwa Raya Kamal Baharin Omar bahawa sebagai Perdana Menteri, beliau tidak boleh menerima hadiah iaitu derma yang didakwanya daripada keluarga diraja Arab Saudi.

Kamal Baharin: Berdasarkan kod etika ini, Datuk Seri tidak sepatutnya menerima derma berkenaan, setuju?
Najib: Tidak setuju. Saya tidak menganggap derma itu menjejaskan integriti dan kod berkenaan perlu dibaca secara teliti, bukan terpisah.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here