Ahmad Fadhli Shaari

KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari mempersoalkan percanggahan kenyataan antara Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isu kenaikan harga tambang bas sekolah.

Ia selepas Anthony kelmarin memaklumkan kerajaan tidak mempunyai sebarang kuasa untuk menghalang kenaikan harga tambang bas sekolah yang dijangka berlaku pada Februari depan.

Sedangkan, menurut Ahmad Fadhli, Anwar sebelum ini dengan tegas memberi amaran kepada pengusaha bas sekolah supaya tidak menaikkan tambang perkhidmatan kerana kenderaan itu menerima subsidi diesel daripada kerajaan.

“Jadi di sini PM (Anwar) sudah kata bahawa kalau pengusaha bas naikan tambang, kerajaan akan tarik balik lesen…hebat ucapan PM.

“Saya pun sokong hampir nak melompat, kita bertepuk tangan ketika itu. (Tetapi) tiba-tiba sekarang, Kementerian Pengangkutan kata kerajaan tidak ada kuasa.

“Ini yang pelik ni, siapa yang betul, siapa yang tak betul? Kementerian Pengangkutan betul, PM tidak betul ke atau PM yang tak betul dan Kementerian Pengangkutan yang betul?

“Atau kedua-duanya tak betul? Kalau semua sudah tak betul, memang kena turunlah kerajaan sekarang ni, setuju atau tidak setuju?” soalnya dalam kenyataan menerusi video yang dimuat naik di laman sosial Facebook hari ini.

Kelmarin, Anthony berkata, kementeriannya tidak bertanggungjawab mengawal kadar tambang bas sekolah kerana isu ini tidak berada di bawah bidang kuasa mereka.

Kenyataan beliau itu merujuk kepada isu kenaikan tambang bas sekolah yang dijangka meningkat antara RM5 hingga RM10 pada Februari depan seperti gesaan Gabungan Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Malaysia (GPBSM).

Bagaimanapun, Anwar ketika berucap dalam program Himpunan Aspirasi Madani Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam Bersama Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Jun tahun lalu memberi amaran akan menarik balik lesen pengusaha bas sekiranya menaikkan tambang.

Ia selepas dua persatuan yang mewakili sektor pengangkutan memaklumkan, bantuan kad fleet bawah program Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) membantu pengusaha bas sekolah dan ekspres mengekalkan tambang sedia ada tanpa membebankan pengguna. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here