Najib
Najib Razak

PUTRAJAYA – Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu, Datuk Seri Najib Tun Razak memulangkan sumbangan politik sebanyak AS$620 juta kepada keluarga diraja Arab Saudi kerana Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) telah selesai.

Bekas Perdana Menteri berkata, wang tersebut dimasukkan semula ke dalam akaun Tanore Finance Corp. yang diyakininya milik keluarga diraja berkenaan kerana beliau tidak memerlukan lagi wang sebanyak itu dalam akaunnya.

“Saya tidak perlu lagi wang dalam jumlah yang banyak dalam akaun kerana boleh timbul macam-macam, PRU13 (pada 2013) pun dah selesai.

“Jadi saya pulangkan semula dan menulis surat kepada pihak bank,” ujar beliau ketika disoal balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, Kamal Baharin Omar.

Najib, 71, membela diri terhadap empat pertuduhan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan 21 tuduhan pengubahan wang haram.

Ketika ditanya oleh Kamal Baharin, Najib menyatakan beliau tidak memaklumkan kepada Tanore Finance Corp. secara rasmi berkaitan pemulangan wang tersebut.

Menurut Najib, beliau juga tidak memaklumkan perkara itu melalui surat kepada kerabat diraja, Putera Saud Abdulaziz bin Majid Al Saud selaku pengirim mahupun Raja Abdullah yang mendermanya.

Ujar bekas Perdana Menteri, wang itu dipindahkan ke dalam akaun Tanore Finance Corp. kerana beranggapan syarikat itu milik keluarga Arab Saudi berkenaan.

Kamal Baharin: Saya katakan Datuk Seri tidak memaklumkan kepada keluarga diraja Arab Saudi kerana ia bukan dari Saud Abdulaziz mahupun Raja Abdullah.

Najib: Tidak setuju.

Kamal Baharin: Ketika terima wang, adakah Datuk Seri membuat akuan penerimaan daripada Saud Abdulaziz?

Najib: Tidak.

Kamal Baharin: Adakah Datuk Seri buat semakan sama ada Tanore Finance Corp. mempunyai kaitan dengan Saud Abdulaziz?

Najib: Tidak kerana saya yakin ia melibatkan penyeliaan bank dan negara.

Kamal Baharin: Saya katakan, Datuk Seri tidak buat semakan kerana wang itu bukan datang daripada Saud Abdulaziz mahupun Raja Abdullah?

Najib: Tidak setuju.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung petang ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here