BUKIT KAYU HITAM – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menahan 31 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk tiga kanak-kanak warga Myanmar yang cuba memasuki negara ini melalui laluan haram di sempadan Malaysia-Thailand di sini, hari ini.
Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) dalam satu kenyataan berkata, mereka yang berusia lingkungan dua hingga 42 tahun itu ditahan jam 6 pagi ketika pasukan operasi melaksanakan rondaan.
Jelasnya, mereka yang terdiri daripada masing-masing 14 lelaki dan wanita serta tiga kanak-kanak itu dikesan bersembunyi di kawasan ladang kelapa sawit berhampiran sempadan Malaysia-Thailand.
“Hasil siasatan mendapati mereka dipercayai memasuki negara melalui jalan yang tidak sah.
“Kita turut merampas sejumlah wang tunai, 23 buah telefon bimbit serta barang kemas dengan anggaran keseluruhan berjumlah RM27,885.
“Kesemua tangkapan diserahkan kepada pihak polis di Balai Polis Bukit Kayu Hitam untuk tindakan lanjut,” katanya hari ini.
Tambah kenyataan itu, TDM akan terus komited bagi memastikan keselamatan di sempadan negara dan tidak akan berkompromi dengan sebarang aktiviti jenayah rentas sempadan dan penyeludupan.
“Pasukan beroperasi akan terus mempertingkatkan rondaan dan kawalan di sempadan bagi mengekang jenayah rentas sempadan khususnya melibatkan PATI,” katanya. – MalaysiaGazette