ADUN Kuala Sentul, Datuk Jasri Jamaludin

KUANTAN – Kenyataan Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar berkaitan isu Titah Addendum dan pengesahan daripada Istana pahang disifatkan sebagai biadap dan menghina Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Ahli Dewan Negeri Kuala Sentul, Datuk Jasri Jamaludin berkata, kenyataan Iskandar mencabar kredibiliti institusi diraja dan melanggar adat istiadat Melayu yang memartabatkan kedaulatan Raja-raja Melayu.

”Ia juga merupakan satu tindakan yang tidak sejajar dengan kedudukan institusi beraja sebagai mana yang diperuntukkan di bawah Perkara 32 dan Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan, yang menetapkan peranan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Utama Negara dan institusi Raja sebagai simbol kedaulatan serta perpaduan rakyat.

”Surat pengesahan yang dikeluarkan oleh Istana Pahang berhubung titah Adendum adalah langkah wajar yang mencerminkan kebertanggungjawaban Sultan Pahang dalam memperjelas isu ini secara telus.

“Kenyataan Shamsul Iskandar yang seolah-olah mempertikai langkah tersebut bukan sahaja bertentangan dengan prinsip Separation of powers yang menjadi asas Perlembagaan, tetapi juga mengabaikan keperluan untuk memelihara keharmonian hubungan antara kerajaan dan institusi diraja,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Katanya, tindakan tersebut telah mencalarkan maruah baginda yang pernah menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-16 selain mengguris hati rakyat Pahang.

“Saya menuntut agar Datuk Seri Shamsul Iskandar segera menarik balik kenyataan tersebut dan membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Istana Pahang serta seluruh rakyat negeri ini.

”Saya juga menggesa pihak kerajaan untuk mengambil langkah proaktif dalam memastikan kenyataan seperti ini tidak berulang, kerana ia berpotensi merosakkan kepercayaan rakyat terhadap institusi Raja Berperlembagaan, yang merupakan salah satu tiang seri kestabilan negara,” katanya.

Jelas Jasri, adalah penting untuk difahami bahawa institusi raja di Malaysia bukan hanya simbol adat dan tradisi, tetapi juga komponen penting dalam struktur Perlembagaan.

Beliau berkata tindakan menghina atau mempertikai tindakan raja yang sah, sebagai mana diperuntukkan di bawah Perkara 181(1) Perlembagaan Persekutuan, boleh dianggap sebagai perbuatan melampaui batas yang mencemarkan institusi beraja.

Kenyataan Shamsul Iskandar juga dilihat bercanggah dengan semangat undang-undang, termasuk prinsip yang digariskan di bawah Akta Hasutan 1948 untuk melindungi kedudukan dan martabat institusi diraja. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here