KUALA LUMPUR – Kebenaran untuk memulakan prosiding semakan kehakiman berhubung kewujudan Titah Adendum telah ditetapkan untuk pengurusan kes pertama di Mahkamah Tinggi selepas Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan pemohon kes berkenaan diremitkan ke Mahkamah Tinggi bagi pendengaran substantif semakan kehakiman.
Jabatan Peguam Negara menerusi kenyataan memaklumkan, semasa pengurusan kes tersebut, Mahkamah Tinggi telah memberikan arahan berkaitan pemfailan afidavit bagi permohonan substantif semakan kehakiman itu.
Selain itu, Mahkamah Tinggi juga telah memberikan arahan kepada responden-responden berkaitan pemfailan notis permohonan bagi perintah perlindungan dan perintah sekatan (gag order).
“Di samping itu, Mahkamah Tinggi juga telah memberikan arahan kepada pihak watching brief untuk memfailkan notis permohonan hadir mendengar kes ini beserta arahan pemfailan afidavit yang berkaitan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mahkamah Tinggi telah menetapkan pengurusan kes seterusnya secara e-Review pada 11 Mac 2025.
Justeru katanya, semua pihak dipohon untuk menghormati prosiding mahkamah tersebut.
Sebelum ini, Datuk Seri Najib Razak berjaya mendapat kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi suatu perintah untuk memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum.
Titah Adendum berkenaan dikatakan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang membolehkan bekas perdana menteri itu menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah, bersabit kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.
Keputusan majoriti 2 -1 dibuat Hakim Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril membenarkan rayuan Najib untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman itu manakala Hakim Datuk Azizah Nawawi yang mengetuai panel menentangnya.
Sehubungan itu, panel memerintahkan supaya kes terbabit diremitkan (dikembalikan) ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur supaya merit semakan kehakiman terbabit dan diputuskan. – MalaysiaGazette