ALOR GAJAH – Seorang warga emas lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Alor Gajah hari ini atas pertuduhan mencabul seorang kanak-kanak perempuan yang juga anak jirannya berusia enam tahun, minggu lalu.
Tertuduh berusia 67 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Syazana Abd Lajis.
Mengikut tuduhan, warga emas itu didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak berkenaan dengan cara meraba kemaluan mangsa.
Perbuatan itu dilakukan pada waktu petang di sebuah premis beralamat Bt 22 Jalan Sentosa, Kampung Rantau Panjang, Masjid Tanah dalam daerah Alor Gajah pada 6 Januari 2025.
Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah akta sama.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Sharina Farhana Nor Sa’ari mencadangkan jumlah jaminan sebanyak RM18,000 serta syarat-syarat tambahan sekiranya dibenarkan mahkamah.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh yang tidak diwakili peguam diikat jamin RM8,000 serta syarat tambahan dilarang mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.
Tertuduh juga diarah melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali serta pasport diserahkan kepada mahkamah.
Mahkamah menetapkan 18 Februari ini untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.
Minggu lalu, MalaysiaGazette melaporkan warga emas berkenaan dipercayai melakukan perbuatan tersebut ketika kanak-kanak itu sedang bermain di halaman rumahnya
Pemangku Ketua Polis Melaka Datuk Md Nazri Zawawi dilaporkan berkata, kejadian itu terbongkar selepas mangsa anak kedua daripada tiga beradik menceritakan perbuatan suspek kepada bapanya berusia 31 tahun pada malam hari yang sama.
Mangsa memberitahu, suspek telah memasukkan jari ke dalam seluar dan menggosok kemaluannya sehingga melecet sebelum memintanya tidak menceritakan perkara itu kepada sesiapa.
Susulan itu, bapanya pergi ke rumah warga emas berkenaan dan suspek mengaku telah mencabul kemaluan mangsa di hadapan rumahnya ketika tiada individu lain di situ. – MalaysiaGazette