Pengerusi Mara, Dr Asyraf Wajdi Dusuki bercakap pada sidang media berkenaan pencapaian Ujian Kecenderungan Kemasukan MRS (UKKM) di Hotel Premiera, Menara Mara, Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR – Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mendedahkan kewujudan kartel membabitkan kontraktor dalam Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) itu memberitahu, terdapat proses dan tatacara dalam perolehan yang ketat bagi setiap kontrak dalam MRSM yang tidak membabitkan beliau.

“Apabila saya jadi Pengerusi MARA, saya ada dengar cakap-cakap di luar sana yang memaklumkan ada kartel (kontraktor) dalam MRSM.

“Bila saya turun padang, memang saya nampak ada kartel itu. Semasa memohon, keutamaan diberikan kepada syarikat tempatan yang terletak berhampiran dengan MRSM supaya apabila berlaku sesuatu, mudah untuk mereka kendalikan (permasalahan itu).

“Bagaimanapun, ada antara mereka yang memohon menggunakan alamat berhampiran (dengan MRSM terbabit) tetapi apabila disemak, rupanya berada jauh di luar kawasan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program MARA Integrated Accounting Conference (MiCA) 2025, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Asyraf Wajdi berkata, inisiatif beliau melakukan ‘terjahan’ di MRSM pada tahun lepas akan diteruskan bagi memastikan kebajikan pelajar serta tenaga pengajar terjamin.

“Saya perlu menjaga amanah selaku pengerusi (MARA) yang meluluskan peruntukan wang rakyat dan memastikan ia dimanfaatkan dengan baik tanpa satu sen pun wang berkenaan dibazirkan.

“Meskipun sukar untuk dihapuskan sepenuhnya, namun saya akan sedaya-upaya untuk mengatasi isu kartel (kontraktor) dengan menambah baik prosedur operasi standard (SOP) serta pengawasan di peringkat pengurusan.

“Berdasarkan langkah-langkah itu, kita nampak sudah ada perkembangan positif dan ia akan diteruskan,” ujarnya.

Sementara itu, mengulas mengenai tindakan saman terhadap pengusaha dewan selera MRSM Taiping, Perak, beliau berkata, tindakan itu sedang berjalan.

“Ia (tindakan saman) sedang berjalan, manakala penamatan kontrak pula sudah diambil.

“Tindakan sekadar menamatkan kontrak saja tidak cukup. Kita perlu ambil tindakan serius dan tak perlu untuk merayu dengan saya,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan MARA sudah menamatkan kontrak pengusaha dewan selera MRSM Taiping selepas mereka gagal menjawab notis remedi yang dikeluarkan MARA.

Susulan itu, Asyraf memaklumkan pihaknya akan mengemukakan saman dan menuntut ganti rugi di mahkamah terhadap kontraktor berkenaan yang melanggar kontrak dalam penyediaan makanan kepada pelajar.

Pada 5 September tahun lalu, Asyraf Wajdi membuat pemeriksaan mengejut ke dewan selera MRSM Taiping susulan laporan ibu bapa mengenai anak-anak mereka yang keracunan akibat makanan disediakan di dewan selera itu.

Dalam ‘terjahan’ itu, beliau menghubungi kontraktor berkenaan yang memperoleh kontrak sejak dua tahun lalu dan meluahkan rasa marah selepas mendapati tahap kebersihannya sangat mengecewakan dan menu ditetapkan pihaknya tidak dipatuhi.

Insiden keracunan berkenaan dilaporkan berulang walaupun dewan selera itu pernah diarah tutup oleh Jabatan Kesihatan Perak susulan kejadian keracunan makanan membabitkan 62 pelajar pada 30 dan 31 Ogos tahun lalu. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here