KUALA LUMPUR- Sebanyak 249 projek perumahan swasta dikategorikan lewat, 392 projek sakit dan 113 projek terbengkalai dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM130.83 bilion direkodkan sehingga bulan lalu.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu, bagaimanapun berkata, pencapaian positif telah dicatatkan sepanjang tahun 2024 dengan pemulihan 475 projek, merangkumi 441 projek yang mendapat sijil perakuan siap (CCC).
“Sejak penubuhan Task Force Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST), tahun ini, 29 projek yang dulunya berstatus lewat telah kembali lancar.
“Manakala, sembilan projek terbengkalai telahpun berjaya dipulihkan sama ada melalui kaedah penyiapan projek sehingga memperolehi CCC ataupun Sijil Kelayakan Menduduki (CFO) ataupun juga satu lagi dengan kaedah penyelesaian bernilai RM53.67 bilion,”.
Beliau berkata demikian ketika sidang media berkenaan status perumahan swasta, lewat, sakit dan terbengkalai di sini hari ini.
Menurut beliau, sehingga 31 Disember 2024, sebanyak 36 projek telah dilawati dimana 18 projek telah berjaya memperoleh CCC.
Tambah beliau, aspek pemantauan juga turut ditambahbaik dengan pemaju tidak lagi dihadkan hanya menghantar laporan kemajuan projek setiap sukuan.
“Pemaju bahkan turut dibenarkan untuk mengemaskini laporan kemajuan projek di dalam Housing Intergrated Management System (HIMS) sepanjang tahun mengikut kesesuaian pemaju,” katanya.
Jelasnya lagi, KPKT turut akan menambahbaik sistem HIMS dan TEDUH dalam memberikan perkhidmatan kepada seluruh rakyat Malaysia.
“Bagi penggunaan e-SPA, semua urusan perjanjian jual beli antara pemaju dan pembeli dilaksanakan secara digital dalam sistem HIMS.
“Selain itu, turut ditambahbaik pelaksanaan sistem Demerit pemaju dan ahli lembaga pengarah untuk menggantikan sistem senarai hitam sedia ada,” katanya. – MalaysiaGazette