Naib Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Jack Seng

KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh sepatutnya mengelak daripada mempolitikkan isu berkenaan penjualan ‘sandwich ham’ yang mempunyai logo halal di sebuah kedai serbaneka dalam kampus Universiti Malaya (UM).

Naib Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Jack Seng berkata, isu itu perlu diserahkan kepada pihak berkuasa berwajib seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk ditangani, tanpa melibatkan campur tangan pemimpin politik.

Jelas beliau, tindakan Dr. Muhamad Akmal dalam isu itu bukan sahaja tidak perlu, malah boleh meninggalkan kesan buruk kepada persekitaran perniagaan di negara ini termasuk menyebabkan pelabur asing menarik diri.

“MCA yakin dengan kemampuan pihak berwajib seperti Jakim dan percaya agensi itu mempunyai kepakaran sepenuhnya untuk menyelesaikan isu terbabit tanpa campur tangan pemimpin politik atau tindakan mengapi-apikan isu berkenaan di media sosial.

“Pemimpin politik tidak sepatutnya mengeksploitasi isu-isu sebegini untuk kepentingan politik kerana tindakan itu hanya akan memecah-belahkan masyarakat berbilang kaum dan menyebabkan persekitaran perniagaan menjadi tidak stabil,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Semalam, Dr. Muhamad Akmal menggesa polis menyiasat penjualan ‘sandwich ham’ yang mempunyai logo halal dalam kampus UM yang disifatkan tidak boleh diterima sekali gus mempersoalkan jaminan keselamatan produk yang mempunyai logo halal yang dijual rangkaian kedai serbaneka terlibat.

Sementara itu, Jack Seng yang juga Ahli Parlimen Tanjung Piai berkata, sebarang kenyataan dan tindakan yang ekstrem oleh mana-mana ahli politik bukan sahaja tidak membina, malah boleh memperluaskan lagi rasa tidak percaya dalam kalangan kaum berbeza.

Prasangka atau prejudis seperti itu, menurut beliau, sekiranya terus dibiarkan akan meninggalkan kesan negatif jangka panjang terhadap pembangunan sosial dan ekonomi negara.

Dalam masa sama, ujarnya, semua pihak khususnya pempimpin politik seharusnya memberi tumpuan kepada isu-isu yang lebih utama seperti pembangunan negara, meningkatkan taraf hidup rakyat dan ekonomi negara, menarik pelaburan asing serta memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat.

“Apabila semua pihak memainkan peranan untuk memastikan Malaysia kekal sebagai sebuah negara yang aman, inklusif dan mesra perniagaan, maka masalah perpecahan dalam kalangan rakyat dapat ditangani sekali gus turut mendorong kepada kemasukan pelabur asing,” katanya.  – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here