Anggota Jabatan Pengangkutan Jalanraya (JPJ) Selangor melakukan pemeriksaan terhadap penunggang motosikal pada Operasi Khas Motosikal JPJ di Plaza Tol Petaling Jaya Selatan, Selangor. Foto SADIQ SANI, 12 NOVEMBER 2024

KUALA LUMPUR – Kes kemalangan maut semakin meningkat dengan 5,939 kematian direkodkan sehingga November tahun lalu.

Angka itu merupakan sebahagian daripada 585,729 kemalangan yang dicatatkan dalam statistik Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Diraja Malaysia.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasmi Habibollah berkata, turut menunjukkan 67 peratus atau 4,014 kematian adalah melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal berusia 16 hingga 35 tahun.

Jelasnya, nahas melibatkan golongan belia termasuk pelajar sering berlaku semasa perjalanan ulang alik ke sekolah.

“Insiden seperti ini amatlah menyayat hati apabila ketika usia yang masih muda berakhir dengan keadaan sebegitu tragis. Para pelajar merupakan aset penting yang memainkan peranan dalam mencorak masa depan yang cerah kepada negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Kempen Keselamatan Jalan Raya 2025 Kongsi Jalan Raya, Tunggang Berhemah Anjuran Suzuki Malaysia di Dataran Ilmu, Bandar Baru Selayang.

Sehubungan itu, beliau menyeru ibu bapa, guru-guru serta masyarakat memainkan peranan dalam mendidik pelajar untuk mengutamakan keselamatan dan mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya.

Selain itu menurut beliau, lesen memandu perlu menjadi keutamaan kerana ia bukti seseorang itu layak menunggang motosikal.

“Lesen memandu bukan sekadar dokumen sah untuk membolehkan seseorang individu menunggang motosikal, malah yang lebih penting lagi, ia adalah bukti bahawa seseorang telah melalui latihan yang komprehensif dan lulus ujian yang mengukur kemahiran dan kompetensi berkaitan keselamatan kenderaan dan keselamatan jalan raya,” jelas beliau.

Dalam masa yang sama Hasmi berkata, penggunaan kelengkapan penunggangan seperti topi keledar yang mengikuti spesifikasi SIRIM dan jaket keselamatan dengan spesifikasi yang ditetapkan perlu ditekankan dalam usaha menangani kemalangan melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal.

“Justeru, saya juga ingin berpesan kepada pihak industri untuk memainkan peranan yang penting dalam memastikan produk yang mereka tawarkan mematuhi standard keselamatan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa,” katanya lagi.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here