JOHOR BAHRU – Lebih 30 buah motosikal yang dihantar untuk dibaiki di sebuah bengkel rosak selepas ditenggelami banjir di Kampung Sepakat Baru, Skudai di sini semalam.
Pengusaha bengkel, Muhamad Aminuddin Nordin, 32, tidak sempat untuk memindahkan motosikal milik pelanggannya itu kerana air banjir naik cepat pada awak pagi.
“Air naik mengejut dan deras pada awal pagi kelmarin sehingga menyebabkan barangan bengkel seperti cover seat motosikal hanyut dan perkakasan lain ditenggelami lumpur.
“Masa air naik memang tengah tidur pukul 4 pagi, bila bangun tengok air dah naik, pukul 8 pagi sudah paras pinggang.
“Banyak barang tidak sempat diselamatkan seperti motosikal pelanggan yang tenggelam dan barangan elektronik malah kereta dan motosikal saya sendiri ditenggelami banjir, hanya sempat selamatkam lebih kurang 10 motosikal pelanggan yang telah siap dibaiki,” katanya ketika ditemui hari ini.
Walaupun begitu dia tetap bersyukur semua ahli keluarga dapat keluar dan dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Muafakat Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP).
Dia yang mengusahakan bengkel motosikal secara kecil-kecilan bersama adiknya, Borhanuddin, 31, sejak 12 tahun lalu berkata, banjir kali ini amat menguji dirinya.
Ini kerana bapanya Nordin Taib, 64, tidak dapat bergerak kerana menghidap penyakit kencing manis kronik dan dikeluarkan oleh pasukan bomba.
Keadaan isterinya pula, Fatin Syahirah Roslan, 31, kini sarat mengandung anak kedua.
Aminuddin bersyukur kerana bapa, isterinya dan anak perempuannya yang berusia tiga tahun selamat dipindahkan ke PPS berkenaan.
“Banjir kali ini naik cepat tapi tidak seteruk banjir pada tahun 2007, cepat naik dan cepat juga surut. Anggaran kerugian itu besar juga lebih RM20,000.
“Saya fikir juga macam mana cara nak beritahu pelanggan tetapi ada yang memahami ini bencana alam sesuatu yang kita tidak boleh jangka. Kalau pelanggan minta ganti akan diusahakan insyaAllah.
“Pening nak fikir sebenarnya tetapi rezeki Allah itu ada, kita pun dah reda, fikir banyak pun buat sakit kepala,” katanya yang pulang hari ini untuk membersihkan bengkel motosikalnya.- MalaysiaGazette